Ascensia dekati masyarakat promosi cegah diabetes - Utusan Malaysia

Ascensia dekati masyarakat promosi cegah diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Peneraju penyedia solusi penjagaan diabetes di dunia, Ascensia Diabetes Care baru-baru ini menganjurkan kempen yang bertujuan mendekati komuniti di sekitar Lembah Klang dalam usaha mempromosikan langkah proaktif pencegahan dan pengurusan diabetes.

Syarikat pakar penjagaan diabetes itu dalam satu kenyataan di sini berkata, kempen itu juga bermatlamat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan sikap acuh tak acuh rakyat di negara ini terhadap penyakit tersebut.

Katanya, kempen selama enam bulan yang digelar #DriveAgainstDiabetes telah dianjurkan dengan kerjasama Diabetes Malaysia dan direka untuk mendidik orang ramai berkenaan simptom, langkah pencegahan dan pengurusan diabetes.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nadi kempen berkenaan merupakan sebuah bas penumpang dengan 44 tempat duduk yang akan mengembara ke pelbagai lokasi tumpuan ramai di seluruh Lembah Klang.

“Bas itu membawa sepasukan individu terlatih daripada Diabetes Malaysia manakala Ascensia akan menjalankan ujian gula dalam darah secara percuma dan berinteraksi dengan masyarakat melalui penganjuran aktiviti seperti peraduan dan permainan berkaitan diabetes dengan tawaran pelbagai hadiah menarik,” katanya.

Menurut Ascensia, sebagai satu bahagian penting dalam kempen itu, peserta juga diminta untuk mengisi borang tinjauan bertujuan untuk mendapatkan pandangan lebih mendalam berkenaan pemikiran penghuni kota berkaitan diabetes.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Ascensia Diabetes Care Malaysia, Maximilian Lim berkata, “#DriveAgainstDiabetes merupakan satu inisiatif Ascensia Diabetes Care Malaysia dalam menyokong usaha berterusan menentang diabetes di negara ini.

“Kami memahami bahawa rakyat Malaysia mengetahui dan sedar tentang penyakit tersebut tetapi masih ramai yang tidak mengambil langkah proaktif dalam mencegah diabetes atau mendapatkan diagnosis berkaitannya.

“Kami mahu mereka memahami punca perkara itu berlaku agar kami dapat menyediakan cara untuk mengatasi kekangan yang ada sebagai langkah pencegahan yang lebih baik,” katanya.

Kempen #DriveAgainstDiabetes yang bermula pada Januari lalu itu akan melibatkan 20 lokasi di seluruh Lembah Klang dan sehingga ini, kempen berkenaan telah berjaya bertemu dengan lebih 11,000 individu di lokasi terpilih seperti Kajang, Kepong, Bangi, Semenyih, Bangsar dan Shah Alam.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kempen #DriveAgainstDiabetes, boleh berbuat demikian dengan melayari laman web di https://contourmy.com/home atau Facebook Contour Diabetes Solutions. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×