LYON – Megan Rapinoe berkata, Amerika Syarikat (AS) menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia Wanita dengan mereka akan berdepan juara Eropah, Belanda dalam aksi final.
Seramai 60,000 penonton dijangka memenuhi stadium bagi menyaksikan perlawanan itu dengan AS menjadi pasukan pilihan selepas melangkah ke final buat kali ketiga berturut-turut.
Mereka boleh merangkul kejuaraan itu buat kali keempat dalam lapan edisi, empat tahun selepas jaringan hatrik Carli Lloyd membantu mereka menundukkan Jepun 5-2 dalam aksi final di Kanada.
“Kami melalui jalan yang sukar untuk mendapatkan tempat di sini.
“Tetapi saya sukakan pasukan ini kerana mereka sentiasa inginkan kemenangan,” kata pengendali AS, Jill Ellis.
Rapinoe menjaringkan dua gol ketika menentang Sepanyol dan Perancis sebelum dikepetikan semasa separuh akhir menentang England kerana kecederaan menyuarakan keyakinannya untuk turun beraksi menentang Belanda.
“Saya yakin akan cergas sepenuhnya dalam aksi final dan sangat teruja dengan peluang ini.
“Saya seperti kanak-kanak di dalam kedai gula-gula. Ini adalah pentas terbaik,” katanya.
Sementara itu, Belanda berharap untuk melakar kejutan dalam kejohanan itu, dua tahun selepas diangkat sebagai juara Eropah di laman sendiri.
“Kami perlu lakukan pendekatan sama dalam setiap perlawanan.
“Kami sedang bermain di peringkat tertinggi, jadi kami perlu bermain dan bertahan dengan baik sebagai satu pasukan,” kata pengendali Belanda, Sarina Wiegman.-AFP











