LONDON – Arsenal dilaporkan sedang mengadakan perbincangan di peringkat dalaman untuk meningkatkan bajet untuk perpindahan pemain pada musim panas ini.
Kegagalan layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan membuatkan The Gunners dipercayai hanya membenarkan pasukan itu berbelanja sekitar 45 juta pound (RM234.06 juta) bagi mendapatkan pemain pada musim perpindahan kali ini.
Menurut Daily Mail, pihak yang terlibat dengan urusan jual beli pemain sedang mengemukakan rayuan kepada pemilik, Stan Kroenke bagi mendapatkan dana tambahan bagi mencerahkan peluang mendapatkan Wilfred Zaha.
Pemain itu sememangnya berhasrat untuk meninggalkan Selhurst Park pada musim panas ini dengan Arsenal menjadi destinasi utamanya memandangkan dia meminati pasukan itu sejak dari zaman kanak-kanak.
Bagaimanapun, Eagles menolak tawaran 40 juta pound (RM208.05 juta) yang dikemukakan Arsenal dan meletakkan harga 80 juta pound (RM416.10 juta) buat Zaha.
Pengerusi Palace, Steve Parish mengesahkan bahawa dia tidak akan menghalang Zaha untuk meninggalkan kelab itu tetapi kelab yang berminat perlu memenuhi nilai pasaran buat pemain itu.
Pengendali Arsenal, Unai Emery juga mahu memperkuatkan barisan pertahanan pasukan tetapi gagal untuk membawa masuk Kieran Tierney dari Celtic dan Joachim Andersen dari Sampdoria.
Pesaing mereka seperti Manchester City, Manchester United dan Tottenham sudah mula membawa masuk pemain baharu dan Arsenal berada dalam zon bahaya sekiranya Kroenke kekal dengan keputusannya untuk tidak berbelanja besar.-AGENSI











