Apabila undang-undang pencemaran kita lemah - Utusan Malaysia

Apabila undang-undang pencemaran kita lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENCEMARAN Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor diakui berlaku akibat sisa kimia bertoksik yang dibuang di sungai berkenaan oleh pengusaha industri yang tidak bertanggungjawab.

Kesan daripada pencemaran bau dan udara di Pasir Gudang ini dirasai oleh masyarakat setempat dan berdekatan. Lebih menyedihkan ramai pelajar mengalami pelbagai simptom penyakit akibat terhidu sisa kimia bertoksik tersebut.

Antaranya ialah muntah, gejala sesak nafas, sakit kepala, loya dan pening sehingga terpaksa di hantar ke hospital. Kejadian turut menyebabkan Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan menutup 111 sekolah di daerah berkenaan demi keselamatan pelajar, guru serta kakitangan sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelajar yang terlibat dengan pencemaran bau dan udara ini bukan sahaja terganggu secara fizikal tetapi juga emosi. Mereka memerlukan sokongan perubatan dan emosi yang berterusan sehingga dapat kembali normal.

Kemungkinan juga mereka memerlukan rawatan susulan untuk jangka masa yang lebih panjang. Kerajaan juga perlu mengeluarkan dana awam yang memakan kos yang tinggi bagi kerja pemuliharaan sungai berkenaan.

Adalah lebih wajar semua kos terbabit dibiayai oleh pihak industri yang menyebabkan berlakunya pencemaran itu. Masih ingatkah kita kepada sejarah pencemaran udara di Chernobyl?

Majalah Time mengklasifikasikan bandar Chernobyl sebagai bandar ke-10 tercemar di dunia. Udara bandar ini tercemar pada 26 April 1986 akibat kebocoran Loji Nuklear Chernobyl yang terletak 14.5 km di selatan.

Pencemaran nuklearnya 100 kali ganda melebihi bom nuklear Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia II tahun 1945. Sekarang zon sekitar 19 km tidak berpenghuni lagi. Dari 1992-2004 terdapat 4000 kes kanser tiroid dikesan di negara Rusia, Ukraine dan Belarus. Sebelum ditinggalkan, bandar ini didiami oleh sekitar 55,000 penduduk.

Sememangnya pencemaran udara dan bau akibat sisa kimia di Sungai Kim Kim tidak dapat disamakan dengan pencemaran udara dan bau di Chernobyl yang berskala sangat besar akibat kebocoran radioaktif.

Namun begitu, kita boleh mengambil ikhtibar yang sama.

Walaupun sudah hampir 33 tahun berlakunya bencana Chernobyl, ia kekal dianggap malapetaka nuklear terburuk dalam lipatan sejarah dunia, yang mana angka kematiannya kekal misteri dan ia terus menjejaskan kesihatan penduduk tempatan.

Selama 10 hari selepas pencemaran pertama bermula, bahan api nuklear masih terus terbakar dan mengeluarkan kepulan awan radiasi beracun yang mencemarkan sehingga tiga perempat negara di Eropah dengan Ukraine, Belarus dan Russia paling teruk terjejas.

Rentetan itu, 985,000 kematian susulan direkodkan akibat barah pramatang berlaku di seluruh dunia antara tahun 1986 hingga 2004 akibat pencemaran radioaktif Chernobyl.

Ternyata pencemaran ini lebih merbahaya kerana melibatkan bahan radioaktif. Pihak berkuasa Soviet ketika itu hanya mengunci mulut demi menjaga imej di mata dunia dan juga kerana mereka kurang memahami impak sepenuhnya akibat pencemaran tersebut terhadap manusia sejagat dan alam sekitar. Ini adalah kejadian pencemaran industri terbesar di dunia.

Merujuk insiden di Sungai Kim Kim, kita tidak harus menutup minda kita dengan hanya memikirkan kemungkinan kilang haram sahaja yang menyumbang kepada masalah pelupusan sisa toksik haram.

Kemungkinan juga kilang yang terlibat beroperasi secara sah, tetapi mengambil kesempatan membuang sisa toksik ini ke tempat yang tidak sepatutnya untuk menjimatkan kos operasi.

Perbuatan melupuskan toksik tidak mengikut peraturan adalah salah dan sangat merbahaya. Bahan toksik itu sepatutnya dihantar ke tapak pelupusan berlesen untuk tindakan sewajarnya.

Setakat ini kita belum mengenalpasti kesan-kesan lain yang mungkin berlaku akibat daripada pencemaran sisa toksik ini, termasuk kesan yang masih “mendap” dan kemungkinan akan berlaku di masa hadapan.

Contohnya seperti yang berlaku di Laut Mediterranean di mana kumpulan mafia dari Itali menggunakan laut sebagai pusat pelupusan sisa tercemar, atau pantai pantai Somalia yang digunakan sebagai tapak

pelupusan bahan radioaktif dan Sellafield, United Kingdom yang dijadikan lokasi membuang sisa nuklear dan lebih 8 juta liter sisa tercemar.

Mengikut peraturan, setiap industri wajib mempunyai “competent person” (orang yang layak) sebagai syarat mendapat lesen, iaitu individu terlatih dalam bidang kepakaran masing-masing dan bertanggungjawab memastikan pengurusan sisa terjadual adalah mengikut undang-undang sedia ada.

Seterusnya disyaratkan lagi supaya pihak industri membuat “self-declaration” mematuhi syarat di samping pelaporan yang lebih kerap, pengauditan terperinci dan pemeriksaan berkala.

Adakah pihak industri yang terlibat mematuhi semua peraturan ini?

Jelas bahawa ada industri yang tidak mempedulikan soal keselamatan dan tidak gentar dengan undang-undang kerana kejadian ini berulang sekali lagi.

Denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun dengan kes yang berlaku ketika ini adalah tidak memadai dengan impak yang dialami oleh masyarakat Pasir Gudang.

Impak pencemaran alam sekitar ini memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat. Setakat ini kita hanya bersedia menghadapi masalah banjir, angin kuat, kemarau, kejadian berkala gempa bumi dan tsunami berskala kecil, kebakaran hutan dan kehilangan kapal terbang.

Sudah tiba masanya kita perlu bersedia menghadapi ancaman pencemaran yang bukan konvensional dan di luar jangka dan bukan sekadar memantau mangsa yang terlibat, mengenal pasti bahan kimia toksik yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim dan mendakwa pelakunya.

Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini