Apa alasan lantik Rania? - Utusan Malaysia

Apa alasan lantik Rania?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan kepada rakyat alasan bagaimana seorang transgender, Rania Zara Medina boleh mewakili Kementerian Kesihatan apabila dilantik sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, penjelasan itu wajar kerana sebagai sebuah negara Islam contoh, pelantikan Rania itu bakal memberi gambaran buruk termasuk kepada agama Islam.

“Harus diingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh yang dipandang tinggi di mata dunia dan pelantikan golongan transgender ini bakal memberi gambaran buruk terhadap agama Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, Wanita UMNO mendesak agar pihak kerajaan menjelaskan kepada rakyat apakah alasan mereka melantik individu duta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mewakili Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye menerusi kenyataan semalam menjelaskan, pelantikan Rania sebagai ahli CCM Malaysia bagi penggal 2019 hingga 2021 adalah mengikut prosedur sedia ada.

Rania yang merupakan pemenang ikon Transwomen Malaysia 2017/2018 akan mewakili Malaysia sebagai ahli CCM bagi mendapatkan dana daripada Global Fund iaitu sebuah badan kewangan antarabangsa yang komited melaburkan dana untuk menghentikan epidemik HIV/Aids, tuberkulosis dan malaria.

Sementara itu, tambah Noraini, pelantikan Rania itu juga jelas mencabar nilai moral masyarakat kerana beliau dikenali sebagai pejuang LGBT dan golongan itu mengamalkan gaya hidup songsang.

Katanya lagi, kelompok LGBT juga disifatkan sebagai mengalami kecelaruan jantina yang bertentangan dengan budaya dan kepercayaan majoriti yang boleh menjejaskan aturan kehidupan masyarakat.

“Pada masa yang sama, budaya songsang ini juga melanggar undang-undang negara di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksyen 25, 26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-wilayah Persekutuan.

“Ini jelas bahawa hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang yang tidak membenarkannya di Malaysia. Oleh itu, adakah pelantikan ini menunjukkan kerajaan PH telah mengiktiraf golongan yang secara jelas mempromosikan LGBT?,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini