KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak dibenarkan masuk ke pusat hiburan kecuali mempunyai tugasan yang dikhususkan untuk mereka berbuat demikian dengan kebenaran pegawai atasan masing-masing.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebarang penugasan rasmi seperti intipan atau risikan perlu mendapat kebenaran daripada beliau atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah bagi mengelak salah faham.
Menurutnya, sesetengah masyarakat menganggap kehadiran polis di pusat hiburan hanya untuk berhibur sebaliknya mempunyai tugasan bagi mengumpul maklumat.
“Kita perlu kumpul maklumat antaranya (di kelab malam dan pusat hiburan), oleh itu kita perlu masuk ke tempat seperti itu.
”Kita tidak mahu masyarakat keliru atau salah faham dengan kehadiran anggota di tempat-tempat itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Bukit Jalil, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, yang melarang semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada mengunjungi pusat hiburan, judi dan maksiat bagi mengelakkan amalan rasuah.
Mazlan memberitahu, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pegawai dan anggota yang mengunjungi pusat-pusat hiburan.
”Arahan ini telah lama dikeluarkan kepada pegawai dan anggota agar tidak mengunjungi pusat hiburan untuk berhibur sekiranya mereka ingkar dan didapati positif dadah tindakan akan dikenakan terhadap mereka mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) sedia ada,” jelasnya.
Turut hadir bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Kamarudin Md. Ali, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek dan Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon. – UTUSAN ONLINE











