MILAN – Pengendali Napoli, Carlo Ancelotti berharap James Rodriguez akan menyertai kelab itu.
Rodriguez menjadi sasaran utama Napoli pada musim panas ini selepas dia mahu kembali bekerjasama bersama Ancelotti.
Pemain berusia 27 tahun itu mengalami situasi tidak menentu selepas juara Bundesliga, Bayern Munich tidak mahu mengambilnya secara tetap selepas dipinjamkan dari Real Madrid selama dua tahun.
“Saya tidak pasti sama ada dia akan datang atau tidak, tetapi kami berharap dia datang.
“Saya sangat mengenalinya, dia boleh bermain di bahagian tengah. Saya menggunakannya selaku pemain sayap kiri, sebagai pemain No.10 dan juga bahagian kanan.
“Tiada masalah untuk meletakkannya di mana-mana posisi. Dia cepat menyesuaikan diri di banyak posisi.
“Paling penting dia memakai jersi Azzurri. Nombor tidak penting. Bagaimanapun, dia memerlukan masa dan kesabaran,” kata Ancelotti.
Napoli dilaporkan berminat untuk mendapatkan Rodriguez secara pinjaman, bagaimanapun Madrid mahu menjual pemain itu secara tetap bagi mendapatkan dana pada jendela perpindahan kali ini.
Walaupun Napoli menjadi pasukan pilihan untuk mendapatkan Rodriguez, namun Atletico Madrid dipercayai sedang memantau perkembangan pemain itu.-AGENSI











