MEMANG benar restu ibu bapa adalah segala-galanya dalam kehidupan anak-anak, namun tidak semua perkara boleh ditentukan oleh ibu bapa terutama perkara membabitkan perkahwinan.
Hal ini kerana ibu bapa tidak boleh memaksa anaknya berkahwin dengan lelaki pilihan mereka tanpa kerelaan si gadis.
Ini kerana, seorang wanita mempunyai hak untuk membuat pilihan sama ada menerima atau menolak lamaran daripada mana-mana lelaki dan ibu bapanya tidak boleh memaksa anaknya itu berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Seseorang janda tidak boleh dinikahi sehingga diajak berbincang dan seorang gadis tidak boleh dinikahi sehingga dia memberikan persetujuan, tanda setuju seorang gadis adalah diam ketika ditanya.” – Riwayat Tirmizi
Justeru, wanita hanya boleh dikahwinkan apabila mendapat persetujuan daripadanya. Maka, ibu bapa tidak boleh sewenangnya menikahkan anak mereka tanpa persetujuan daripadanya.
Walau bagaimanapun, ibu bapa boleh menasihati anaknya untuk menerima lamaran lelaki mempunyai akhlak dan agama yang baik, tetapi keputusan tetap dibuat oleh anaknya.
* Sumber: BUKU 25 Soal Jawab Martabat Wanita Dalam Islam











