KOTA BHARU – Keseronokan belajar tentang ibadat haji pada usia yang masih kecil terbawa-bawa sampai ada yang ralit bertalbiah dalam bilik air.
Seorang peniaga, Rahiman Muda, 41, berkata, anak bongsunya, Aliaa Nur Zahra, 6, yang belajar di Tadika Insan Unggul Little Caliphs (LC) Pengkalan Chepa di sini begitu menghayati apa yang diajar guru dalam kelas dan sering berlatih melaungkan kalimah talbiah di mana sahaja berada.
“Sejak dua minggu lalu guru mula mengajar secara intensif ibadat haji sehinggakan bila balik rumah dia cari gunting untuk tunjukkan demonstrasi tahallul ke atas kakaknya.
“Sebagai kanak-kanak, segala tindakan yang perlu dilakukan termasuk doa yang perlu dihafal mudah meresap masuk dalam ingatan mereka.
“Saya rasakan kesan paling besar adalah kepada ibu bapa sendiri yang beroleh pedoman dan semangat untuk menunaikan umrah ataupun haji apabila melihat anak-anak kecil mereka sudah tahu macam-macam hasil pendedahan awal ini,” katanya ketika ditemui di program ‘Little Haj’ anjuran LC Kelantan peringkat Zon B di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh di sini hari ini.
Seramai 188 murid berumur 6 tahun dari empat buah tadika LC yang bernaung di bawah Kumpulan Unggul berjaya melengkapkan semua ‘rukun’ dalam simulasi haji bermula dari pukul 9 pagi.
Empat buah sekolah yang terlibat adalah Tadika Insan Unggul LC Pengkalan Chepa; Tadika Khalifah Unggul LC Kota Bharu; Tadika Khalifah Unggul LC Kota Bharu II dan Tadika Cilik Unggul LC Pasir Pekan.
Program yang turut diadakan serentak di seluruh negara itu telah dirasmikan oleh Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan negeri (U-Bes), Nasruddin Mahmud Muhaidin.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Unggul, Wan Fadzilah Ab Wahid; Pengarah program, Mahadi Ibrahim; Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar MRSM Pasir Tumboh, Mohd Razi Yahya dan wakil Bahagian Latihan dan Pengurusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu, Sarjan Mohd Rohaizad Mamat.
Sementara itu, Nasruddin dalam ucapannya berkata, ibadat haji memerlukan keinginan dan keazaman tinggi untuk sesiapa yang berniat melakukannya.
“Kita lihat ramai pakcik dan makcik di kampung berjaya menunaikan haji walaupun kita rasa mustahil jika melihat tahap kewangan dan kudrat mereka.
“Niat mesti ditanam dengan kuat dalam hati dan perasaan kerana Allah akan permudahkan, pengalaman semasa menunaikan haji akan menguatkan keyakinan bahawa kita berada dalam agama yang benar,” katanya. -UTUSAN ONLINE











