Selama lebih 40 tahun bergiat aktif dalam industri, mungkin ramai yang tidak tahu rahsia penyanyi rock terkenal, Datuk Ramli Sarip, 67, kekal sihat bertenaga.
Ramli yang digelar Papa Rock mengaku terlalu banyak dugaan dan rintangan yang dihadapi sepanjang bergelar anak seni.
Justeru, beliau sangat menitikberatkan kesihatan fizikal dan mental. Baginya, sehebat manapun seseorang artis, susah untuk bertahan lama jika tidak pandai menjaga kesihatan luaran serta dalaman.

Bagi bintang legenda ini, mengikut sunah Nabi SAW dan taat mengerjakan perintah agama adalah aspek paling penting dalam kehidupan.
“Saya terbuka dalam soal makanan. Saya tidak terlalu cerewet sehingga tidak boleh makan itu dan ini. Apa yang saya amalkan adalah makan suplemen dan ambil makanan sunah untuk membantu dalam penjagaan kesihatan.
“Misalnya saya sudah lebih 20 tahun mengamalkan minum madu kerana ia memberi tenaga, menjauhkan diri daripada kanser, mengurangkan alergi selain menjadi sumber vitamin dan mineral.
“Selain itu, saya juga mengamalkan habbatus sauda dari zaman muda lagi. Dulu makanan sunah tidak begitu popular atau kurang dijual di pasaran.
“Sekarang kita boleh dapatkan habbatus sauda di mana-mana sahaja. Pelbagai khasiat terkandung di dalamnya termasuk menyihatkan jantung dan mengelak risiko mendapat kanser,” kata Ramli yang menyakini makanan yang diamalkan oleh Nabi SAW adalah yang terbaik untuk manusia.
Selain itu katanya, beliau sangat gemar minum susu. Merujuk kepada gaya hidup zaman Rasulullah dahulu, masyarakat ketika itu menjadikan amalan setiap bayi yang lahir akan dihantar kepada ibu susuan agar bayi tersebut membesar dengan sihat.
“Sebenarnya ada magis di sebalik budaya ini yang ramai tidak tahu. Mereka sangat mementingkan khasiat susu yang bagus untuk badan.
“Kerana itu saya juga mengamalkan minum susu setiap hari sudah lebih 30 tahun. Ternyata khasiatnya sangat menakjubkan.
“Saya tahu ada sesetengah orang yang alergik pada susu. Namun, mereka boleh menggantikan dengan produk lain yang mempunyai khasiat yang sama dengan susu,” katanya lagi yang turut mengambil vitamin C dan minyak ikan kerana disarankan oleh ramai doktor.
Kata penyanyi lagu Teratai ini, beliau seorang yang mudah menerima sesuatu yang bagus termasuk pengetahuan dan ilmu yang berkaitan dengan soal kesihatan mental.
“Kalau dilihat sekarang, ramai yang lupa terhadap kepentingan kesihatan mental dan perasaan dalam hidup.
“Bagi saya, untuk mendapatkan ketenangan hati adalah dengan menunaikan kewajipan solat lima waktu sehari. Apabila kita solat, insya-Allah kita akan lebih tenang berhadapan dengan tekanan atau cabaran hidup.
“Semua orang ada masalah. Solatlah kerana itu yang terbaik untuk ‘makanan’ jiwa anda,” ujar Ramli yang akan menjayakan Konsert A Night Of Legends bersama Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Francesca Peter pada 6 Julai ini di Pusat Persidangan Desaru Coast, Johor.
Sebahagian kutipan tiket akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.











