BELO HORIZONTE – Pada usia 36 tahun, ketua pasukan Brazil, Dani Alves masih bernafsu untuk menambah koleksi trofi yang dimenangi dalam karier bola sepaknya dengan mahu menjadikan Copa America 2019 sebagai sasaran terbaharunya.
Dengan Brazil sudahpun layak ke final menentang Peru pada awal pagi Isnin ini, Alves jelas tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa dia mahu menggantung but selepas ini sebaliknya bersedia untuk terus menyumbang tenaga kepada Brazil selagi terdaya.
“Saya tahu berapa umur saya sekarang dan makna umur itu dalam bola sepak, tetapi penyokong masih menagih keputusan yang baik daripada kami. Jadi, saya kena fokus tentang (aksi final) itu bukan usia saya.
“Saya tidak peduli apa orang kata tentang usia saya dan tidak sesekali bercadang mahu menutup mulut mereka. Apa yang saya mahu lakukan sekarang adalah menjalankan tugas sebaik mungkin,” katanya yang kini tanpa kelab selepas meninggalkan Paris Saint Germain (PSG), baru-baru ini.
Walaupun, pernah sekali merangkul trofi Copa America pada 2007 dan dua Piala Konfederasi dalam koleksi kabinetnya, ia bukan alasan untuk membuatkan Alves cepat berpuas hati dan berhenti daripada berbuat demikian sekali lagi.
Selain itu, ketika berkelana di Eropah, pemain pertahanan kanan Brazil ini juga pernah memenangi trofi Liga Juara Juara sebanyak tiga kali, Piala UEFA dua kali, Piala Kelab Dunia tiga kali dan Piala Super Eropah empat kali
Di peringkat liga domestik pula, bersama Barcelona, Alves merangkul tiga kali trofi La Liga, dua kali kejuaraan Liga 1 bersama PSG dan satu kejuaraan Serie A bersama Juventus.
Sama ada Brazil berjaya muncul juara Copa America atau tidak Isnin ini, Alves bakal tetap memahat sejarah sebagai antara pemain pertahanan yang berjaya dalam sejarah bola sepak dunia. – AFP











