PARIS – Seramai 282 penyokong Algeria ditahan polis Perancis kerana bertindak liar ketika meraikan kemenangan pasukan mereka menewaskan Nigeria 2-1 pada aksi separuh akhir Piala Negara Afrika awal hari ini.
Ini disahkan kementerian dalam negeri Perancis yang terpaksa menanggung kesannya memandangkan negara itu mempunyai ramai pendatang dari Algeria. Kebanyakan yang ditahan diletakkan di bawah kawalan ketat.
Sebelum ini situasi sama turut dihadapi pihak berkuasa Perancis ketika Algeria menewaskan Ivory Coast di suku akhir dengan penyokong berarak di atas jalan raya di tengah Paris sambil merosakkan beberapa kedai.
Malah berlaku insiden penyokong Algeria yang sedang memandu kereta, hilang kawalan sebelum merempuh satu keluarga yang menyebabkan seorang wanita terbunuh manakala anak kecilnya cedera gara-gara ghairah meraikan kejayaan.
Sebagai rekod, terdapat ramai rakyat Algeria tinggal di Paris dan Marseille ketika ini. – AFP











