Aku berubah menjadi janin - Utusan Malaysia

Aku berubah menjadi janin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya terjaga dan berasa keliru. Kenapa emak kelam kabut berlari ke depan, bergegas balik dan kemudian mendapatkan saya yang sedang baring di hadapan televisyen di ruang tamu rumah. Apa yang terjadi?

Saya lihat emak memegang tangan saya dan memeriksa nadi. “Uteh! Uteh! Bangun nak… bangun!” emak kelihatan cemas. “Ya Allah.. kenapa ni Uteh!”

Uteh ada ni, mak. Tetapi emak tidak endahkan jawapan saya, sebaliknya dia periksa pula nafas dan degupan jantung saya. Seketika itu juga emak menjerit lagi memanggil nama saya “Bangun Uteh… bangun!”

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya terpinga-pinga. Kenapa emak merasa nadi, nafas dan jantung saya? Kenapa menjerit memanggil saya dan kelam kabut begini? Emak menelefon pula adik-beradik saya dan menyuruh mereka supaya segera balik.

“Cepat balik. Uteh macam dah tak ada ni!”

Saya dah tak ada? Saya dah meninggal? Belum mak, belum. Saya hidup lagi. Tetapi seperti tadi, emak tetap tidak endahkan kata-kata saya.

Waktu itu saya benar-benar keliru. Seingat saya, pukul 10 pagi tadi selepas pulang daripada bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Bandar Tenggara, saya terus ke rumah seorang kawan untuk mengisi kandungan laman web sayangbandartenggara.com yang kami bina bersama-sama.

Sampai di rumah, lebih kurang pukul 1.30 petang, saya makan, solat dan baring di hadapan televisyen. Saya pesan pada emak, saya mahu tidur sebentar. Nanti pukul 4.30 petang kejutlah saya untuk solat asar.

Tapi kenapa sekarang jadi begini? Saya hidup lagi… kenapa emak kata saya sudah tidak ada!

MATI

Tidak lama kemudian Abang Ngah sampai dari rumahnya di Bandar Tenggara. Saya lihat dia memeriksa nadi, nafas dan degupan jantung saya.

“Uteh dah tak ada, mak,” suaranya cemas dan sedih.

Saya dah tak ada? Emak menangis. Emak raup muka saya, cium saya dan sambil mengesat air matanya emak berkata, “Uteh, mak minta maaf ya dunia akhirat…”

Setelah itu emak selimutkan seluruh tubuh saya dari kaki hingga ke kepala. Abang Ngah pula hubungi Klinik Kerajaan Bandar Tenggara. Lima belas minit kemudian ambulans sampai. Abang Ngah dan pembantu perubatan mengangkat tubuh saya untuk dibawa ke ambulans.

Sebaik sahaja tubuh saya diangkat, saya terkejut. Eh, kenapa tubuh saya dibawa pergi, sedangkan diri saya ini tertinggal di sini, di ruang tamu tempat saya terbaring tadi? Saya bangun, dan sekali lagi saya terperanjat.

Saya lihat dada saya dua kali ganda lebih tinggi daripada biasa. Saya tiada tangan, tiada hidung mahupun mulut. Yang ada hanya mata saja untuk melihat. Saya juga tidak berkaki, digantikan oleh `ketulan daging’ menyerupai ekor. Warna tubuh saya bukan lagi coklat, tetapi biru keunguan.

Kenapa saya begini? Diri saya kemudian menjadi ringan dan keluar melihat jasad saya diangkat ke dalam ambulans sambil diperhatikan jiran-jiran.

“Aku hidup lagi!” saya menjerit, namun suara itu bergetar dalam dada sahaja kerana saya kini tidak mempunyai mulut.

Saya masuk ke dalam ambulans dan berdiri di sebelah jasad saya sendiri. Dua orang pembantu perubatan memberikan bantuan pernafasan, menekan dada dan menepuk-nepuk badan saya.

“Jantung dan nadi dah tak ada. Tapi nafas masih ada sikit lagi,” saya dengar mereka kata begitu.

Sepanjang perjalanan dari rumah saya di Felda Pengeli Timur ke Hospital Kulai, mereka lakukan pelbagai usaha. Semuanya tidak berhasil. Mata saya terus terpejam, badan terkulai tanpa sesisa pun kudrat.

Takut? Sedih? Tidak. Ketika itu saya hanya memerhati saja seolah-olah sudah hilang segala perasaan. Kira-kira 20 minit kemudian ambulans sampai di Hospital Kulai. Mereka cuba memberikan bantuan perubatan kepada saya, namun jasad saya tetap seperti tadi.

SUNTIKAN

Selain masalah jantung, doktor mengesyaki saya keracunan makanan. Lantas mereka menyuntik ubatan pada lengan dan pinggang saya. Sebaik sahaja ubat itu memasuki jasad, diri saya yang kini berada dalam `tubuh yang baharu’, berasa terlalu sakit. Tidak dapat hendak saya gambarkan betapa sakitnya saya ketika itu.

Namun usaha itu masih gagal menyedarkan jasad saya. Selepas hampir tiga jam di situ, saya dibawa pula ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu. Diri saya terbang mengekori ambulans. Ada waktu saya berada di atas, ada waktu saya masuk ke dalamnya untuk melihat jasad saya sedang cuba dipulihkan oleh pembantu perubatan.

Setengah jam perjalanan, ambulans sampai di Hospital Sultanah Aminah. Sewaktu para doktor bertungkus-lumus `menyelamatkan’ saya, diri saya pula terbang berlegar di seluruh kawasan hospital. Saya dapat lihat beribu-ribu janin tanpa muka, kaki dan tangan seperti saya, terawang-awang di merata tempat. Setiap satunya berbeza warna, seperti kelabu, putih dan hitam.

Waktu itu saya sudah tiada perasaan lagi. Tiada sedih atau takut. Hanya melihat saja apa yang berlaku dan berserah pada-Nya.

Entah berapa lama saya begitu, hinggalah sampai suatu ketika saya lihat keadaan sekeliling yang sebelum itu terang-benderang, tidak semena-mena menjadi pudar. Ia bertukar menjadi coklat kekuningan, akhirnya kabur, gelap dan…

Tiba-tiba tekak saya berasa sakit. Dapat saya rasakan ada sesuatu yang sedang dimasukkan ke dalam mulut saya. Saya tersentak dan lihat keadaan sekeliling telah berubah. Kini saya berada di dalam jasad yang sedang terbaring di katil hospital.

Mulai hari itu saya beransur pulih dan akhirnya `hidup semula’ dalam jasad ini.

BUTA

Apa yang berlaku kepada saya? Mungkin anda berkata, ia hanyalah khayalan. Mungkin kesan ubatan. Terpulang. Cuma saya ingin beritahu anda bahawa…

Sepanjang `di alam kematian’ itu, mata saya terpejam, tapi saya dapat melihat segala yang berlaku di sekeliling saya. Suasananya cukup terang, jauh lebih terang daripada yang kita lihat ini. Malah mata kiri yang buta akibat kemalangan bersama arwah ayah pada 1998 semasa saya berusia 11 tahun, dapat melihat semula.

Kedua, selepas sedar, saya boleh ceritakan semula apa yang berlaku. Abang dan emak akui apa yang saya cakap semuanya benar.

Kawan saya yang sama-sama bina website sayangbandartenggara.com meminta maaf tidak dapat melawat saya di hospital pada hari pertama saya di sana, kerana datang lewat daripada waktu yang dibenarkan.

Saya beritahu dia, tak perlu minta maaf sebab saya tahu. Saya dapat lihat dia datang bersama abangnya dan berdiri di kaunter memohon kebenaran untuk masuk. Saya nampak kerana ketika itu `saya’ sedang terawang-awang di sekitar hospital.

Terima kasih kepada Mingguan Malaysia yang menyiarkan cerita menarik Pengalaman Keluar Daripada Tubuh (Out of Body Experience OBE) pada minggu lepas. Kisah tersebut mengingatkan saya kepada apa yang saya alami, pada November 2018 lalu.

Selepas dihidupkan semula, mata kiri saya kembali buta. Tak mengapalah kerana ia menginsafkan saya bahawa nyawa dan apa yang kita miliki di dunia ini hanya pinjaman semata. (Razaihan Abdul Rahman, Felda Pengeli Timur, Kulai, Johor. Sehingga sekarang doktor gagal mengesan punca sebenar Razaihan tidak sedarkan diri kerana tidak menemui sebarang simptom sawan dan semua organnya dalam keadaan baik.)

IZAM DAN LAHM

Bentuk janin yang disebutkan oleh Rahizian dalam cerita di atas menyerupai izam dan lahm iaitu peringkat keempat pembentukan bayi selepas nutfah (air mani), alaqah (darah beku) dan mudghah (daging yang dikunyah). Izam dan lahm terbentuk pada minggu kelima, keenam dan ketujuh kehamilan. Pada waktu inilah terbentuknya tulang, diikuti oleh otot-otot yang akan membungkus rangka tersebut (Surah al-Mukminun: 14).

Pada minggu ketujuh terbentuk pula perut dan usus, seluruh saraf, otak serta tulang belakang. Saluran pernafasan daripada mulut kepada hidung dan paru-paru mula kelihatan. Organ pembiakan, kelenjar, hati, buah pinggang, pundi air kencing dan lain-lain juga tercipta. Kaki, tangan, mata, telinga dan mulut mula terbentuk. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini