PETALING JAYA – Penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin menuntut usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman membayar harga barang kemas yang dipilih penyanyi tersebut berjumlah RM80,000.
Malah Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Vida (DSV) turut diarahkan membuat permohonan maaf dalam sidang sidang media khas yang perlu diadakan pada atau sebelum 17 Julai ini.
Sebelum ini, kedua-dua belah pihak telah bersetuju memilih persetujuan penghakiman (mediasi) yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.
Sekiranya Vida ingkar dan tidak menunaikan perjanjian tersebut, Aishah melalui penguamnya, Mohammad Izwan Azmi dan Mazniza Mohd. Kamil bakal mengambil tindakan undang-undang mengikut pelaksanaan.
“Vida perlu menggantikan barang kemas berlian asli dengan harga pameran berjumlah RM80,000 pada atau sebelum 17 Julai .
“Selain itu juga, saya berhak untuk memilih berlian tersebut di sebuah kedai emas yang telah dipilih oleh Vida iaitu di pusat membeli-belah di Bangsar.
“Vida juga diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka dihadiri pihak media yang perlu diadakan sebelum 17 Julai,” kata Aishah ketika sidang media bagi menjelaskan butiran mengenai kes tuntutan sivil antara dia dan Vida di Ramziela Delight, Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Selain itu juga, pengasas produk komestik itu perlu membayar kos sebanyak RM7,500 kepada akaun peguamcara Aishah pada atau sebelum Ahad ini (7 Julai).
Penyanyi Janji Manismu itu sebelum ini telah mendedahkan satu laporan penyelidikan rasmi berhubung rantai tersebut yang didakwa tidak bernilai dan bukan berlian asli yang diterima setelah dinobatkan sebagai juara program Gegar Vaganza musim keempat.
Hal itu diketahui selepas dimaklumkan oleh pemilik kedai sebuah barangan kemas.
Dalam pada itu, Izwan turut memberitahu pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Empire yang gagal menyerahkan hadiah sebidang tanah seperti dijanjikan. – UTUSAN ONLINE











