KUALA LUMPUR 16 Julai – AirAsia Group menyasarkan pertumbuhan sebanyak lima peratus penggunaan ruang bagi aset kargo dan logistik yang kurang digunakan dipacu pelaburan dibuat menerusi Teleport bersama Gobi Partners dalam EasyParcel.
Platform kargo dan logistik yang di jenama semula milik AirAsia, Teleport dan firma modal teroka, Gobi Partners melabur sebanyak AS$10.6 juta (RM43.55 juta) dalam pemain industri penghantaran bungkusan e-dagang serantau, EasyParcel.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, buat masa ini, hanya 15 peratus ruang dimanfaatkan daripada 60 peratus peruntukkan bagi kargo dan logistik, manakala baki 40 hingga 50 peratus untuk bagasi.
Katanya, susulan potensi perniagaan yang luas, beliau percaya kumpulan berupaya memperbesarkan lagi segmen logistik dan kargo seperti yang telah dilakukan dalam segmen penumpang.
“Usaha mempelbagaikan segmen perniagaan ini tidak bermaksud industri penerbangan tidak berada dalam keadaan baik. Segmen penerbangan masih bagus.
“Tetapi bagaimana kami mahu mengekalkan tambang rendah dan membolehkan lebih ramai terbang dengan AirAsia? Ia dapat dilakukan dengan menjana bentuk perniagaan baharu,” katanya di majlis Pengumuman Pelaburan Teleport dan Gobi Partners dalam EasyParcel di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EasyParcel, Clarence Leong dan Pengarah Urusan Gobi Partners Malaysia, Jamaludin Bujang.
EasyParcel akan memanfaatkan logistik dan keupayaan infrastruktur Teleport yang merangkumi lebih 100 bandar, 10,000 penerbangan AirAsia seminggu dan lebih sejuta tan kapasiti kargo.
EasyParcel yang memiliki hampir 500,000 pengguna akan memanfaatkan pelaburan berkenaan untuk memperluaskan tawaran kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, Pete Chareonwongsak berkata, syarikat berhasrat untuk menggandakan perolehan dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada RM400 juta yang diperoleh tahun lepas.
“Teleport akan mengubah logistik dan ekosistem e-dagang menjadikannya lebih mudah untuk rakyat, terutamanya PKS bagi memindahkan barang dari titik A ke B,” katanya.











