ALOR SETAR 8 Julai – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Ahmad Yahya dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas negeri yang baharu bagi menggantikan Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.
Ahmad, 44, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas negeri diberi kepercayaan menjawat jawatan itu berkuatkuasa Sabtu lalu.
Pelantikan itu diputuskan oleh Pas pusat dan beliau akan memegang jawatan tersebut sehingga 2021.
“Beliau menggantikan Ahmad Fakhruddin yang melepaskan jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah selepas dipilih memegang jawatan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pas pusat,” kata Pas negeri dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad yang juga bekas Ketua Penerangan Pas negeri pernah diberi kepercayaan sebagai Ketua Pemuda Pas negeri, Exco Dewan Pemuda Pas Pusat dan Setiausaha Dewan Ulama Pas negeri.
Beliau juga merupakan Setiausaha Muassasah Darul Ulum, Pengerusi Lajnah Tarbiyah, Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas negeri serta Setiausaha Lajnah Pendidikan Pas Pusat.
Menurut kenyataan itu lagi, Ahmad yang merupakan anak jati Kedah dan melibatkan diri dalam politik sejak 1997 mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir, serta pernah mengikuti pengajian di Maahad Buuth Islamiah, Kaherah.
“Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Anak-Anak Tentera, Tok Jalai dan selepas itu menyambung pengajian ke Madrasah At-Taufiqiah Batu 16 atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











