Ahli politik, ahli perniagaan, mana lebih bagus kendalikan Kelantan? - Utusan Malaysia

Ahli politik, ahli perniagaan, mana lebih bagus kendalikan Kelantan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Teka-teki tokoh mana yang akan memimpin Persatuan Bola Sepak (Kafa) bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan yang meletak jawatan bakal terjawab Sabtu ini pada Kongres Luar Biasa Agung (EGM) persatuan terbabit.

Berdasarkan kepada senarai terakhir calon yang diterima oleh Kafa, ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Ab. Aziz bakal mendapat tentangan daripada dua tokoh politik negeri ini.

Mereka adalah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan pencalonan dua tokoh politik terbabit, memperlihatkan beberapa Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) berhasrat mahu Kafa kembali dipimpin oleh ahli politik setelah kepimpinan golongan ahli politik dilihat lebih berjaya menerajui persatuan terbabit.

Ia merujuk kepada perlantikan Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang menerajui Kafa sehingga mampu membawa Kelantan memperoleh gelaran juara berganda tahun 2012.

Bagaimanapun, bagi beberapa PBJ atau sesetengah individu mereka masih menaruh kepercayaan kepada ahli perniagaan dengan mencalonkan Amril Aiman untuk meneruskan legasi Bibi Ramjani sebelum ini.

Berdasarkan pandangan daripada individu yang terlibat secara langsung dalam sukan bola sepak, baik ahli politik mahupun tokoh perniagaan, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 70-an Afandi Yusof berkata PBJ atau mana-mana pihak yang terlibat pada pemilihan perlu membuatkan satu keputusan yang tepat kerana pemilihan pucuk kepimpinan Kafa amat bergantung kepada undian mereka.

“Pilihlah individu yang mampu memberikan pelbagai sumbangan sama ada dari segi dana, buah fikiran dan sebagainya untuk mengubah kembali imej bola sepak Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Elakkan memilih individu yang hanya mahukan jawatan untuk kepentingan peribadi sehingga memberikan kesan kepada pengurusan dan pasukan Kelantan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Afandi berkata sebagai bekas pemain, mana-mana individu adalah layak untuk menerajui persatuan asalkan dapat menguruskan persatuan dan pasukan dengan baik dan mungkin ahli politik dan ahli perniagaan mempunyai perancangan mereka tersendiri bagi mengatasi isu-isu sebelum ini seperti tunggakan gaji pemain serta pegawai, kebajikan, hutang dan mencari dana.

“Ahli perniagaan yang sanggup menerima pencalonan mungkin dia sudah mempunyai dana sendiri untuk menguruskan pasukan, begitu juga ahli politik mungkin mereka berkemampuan menggunakan sedikit pengaruh politik mereka untuk membawa masuk dana kepada persatuan,” katanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Kafa Datuk Ismail Md Noor berkata beliau turut berpandangan ahli politik dan perniagaan mempunyai kekuatan masing-masing.

“Ahli politik akan menggunakan pengaruh, kedudukan politik untuk mendapatkan dana, namun perlu diingat pengaruh dan kedudukan mereka tidak lama selain penajaan juga hanya dalam tempoh yang singkat semusim atau dua musim.

“Begitu juga dengan ahli perniagaan, mereka mempunyai kenalan dalam rangkaian perniagaan yang boleh membantu bagi menguguhkan dana persatuan walaupun tidak mempunyai pengaruh dan kedudukan,” katanya.

Presiden dan barisan exco baharu nanti perlu bekerja keras untuk mendapatkan dana secukupnya bagi menguruskan persatuan dan pasukan kerana pengurusan bola sepak ketika ini perlu dana yang tinggi untuk membentuk pasukan yang baik bagi mendapatkan khidmat pemain berkualiti.

“Tentang pengalaman pengurusan ia akan datang secara perlahan-lahan kerana kita perlu percaya individu yang dicalon mempunyai pengalaman pengurusan dalam bidang masin-masing yang sedikit sebanyak boleh digunakan untuk pengurusan persatuan kelak,” katanya.

Kesimpulannya, semua calon masih mempunyai peluang sama rata bagi menduduki kerusi nombor satu persatuan terbabit dan keputusan sama ada ahli politik atau ahli perniagaan yang memenangi pertandingan itu bergantung kepada undian PBJ dan pihak-pihak yang terlibat.

Pemilihan itu perlu dilakukan dengan bijak supaya ‘desakan’ melepaskan jawatan tidak terus berulang dek kerana tindakan atau keputusan yang dilakukan sendiri.

EGM kali ini turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan timbalan presiden iaitu pertandingan melibatkan Pemangku Presiden Kafa Datuk Seri Afandi Hamzah, Mohamad Yusri Ismail dan Datuk Seri Mohd Zumridi Tambi.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini