DUNGUN – Kegirangan sekumpulan lelaki melakukan selaman skuba berakhir dengan tragedi selepas salah seorang daripada mereka maut akibat lemas di perairan Tanjung Gemuk, Pulau Tenggol dekat sini hari ini.
Mangsa, Tan Gue Kwang, 54, yang merupakan ahli perniagaan dikatakan tiba-tiba berenang naik ke permukaan air sebelum tenggelam sewaktu melakukan selaman bersama rakan-rakannya di perairan terbabit pada pukul 10.23 pagi.
Mayat mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur ditemui lengkap dengan peralatan menyelam termasuk kamera dasar laut yang ditemui pada kedalaman 18 meter dari dasar laut pada pukul 1.20 petang.
Seorang saksi, Muhammad Aqif Ibrahim, 24, yang juga jurulatih selaman berkata, sewaktu kejadian, dia dan empat pelatihnya termasuk mangsa sedang melakukan aktiviti selaman rutin di perairan Tanjung Gemuk, Pulau Tenggol berkenaan.
“Mangsa tiba-tiba berenang naik ke permukaan air tanpa diketahui sebabnya. Saya cuba mengejarnya dengan turut naik secara perlahan-lahan setelah memastikan keselamatan tiga penyelam lain yang masih berada di kawasan dasar laut.
“Sebaik tiba ke permukaan air, kelibat mangsa tidak dapat dikesan sebelum saya meminta bantuan pemandu bot yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo!Online di sini hari ini. – K! ONLINE











