DUNGUN 3 Julai – Seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur mati lemas ketika melakukan aktiviti menyelam bersama rakan-rakannya dalam kejadian di perairan Pulau Tenggol dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.23 pagi dan mayat mangsa, Tan Gue Kwang, 54, yang masih lengkap memakai peralatan menyelam termasuk ‘underwater camera’ ditemukan pada jarak kira-kira 50 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 1.20 tengah hari.

Mangsa dijumpai pada kedalaman 18 meter oleh seorang petugas resort di pulau berkenaan selepas usaha mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan.
Jurulatih mangsa, Muhammad Aqif Ibrahim, 24, berkata, ketika kejadian dia dan beberapa penyelam yang lain sedang melakukan pemeriksaan rutin di dalam air di kawasan perairan Tanjung Gemuk, Pulau Tenggol.
“Semasa pemeriksaan keselamatan itu, mangsa tiba-tiba naik ke permukaan air manakala tiga lagi rakannya masih di dalam air.
“Selepas melakukan pemeriksaan keselamatan ke atas tiga rakan mangsa, saya naik ke atas tetapi apabila tanya pemandu bot, pemandu bot cakap mangsa dah hilang,” katanya.
Menurutnya, mereka keluar melakukan aktiviti menyelam kira-kira pukul 9.45 pagi dan mangsa sudah berada di pulau berkenaan selama tiga hari dengan ditemani isteri dan anaknya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah ini, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Katanya, mayat mangsa tiba di Jeti Rajawali, Kampung Seberang Pintasan kira-kira pukul 2.44 petang sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE











