ADUN Pasir Pinji akui silap guna perkataan referendum - Utusan Malaysia

ADUN Pasir Pinji akui silap guna perkataan referendum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 1 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How mengakui melakukan kesilapan apabila menggunakan perkataan ‘referendum’ ketika menjalankan pungutan pendapat rakyat terhadap rancangan pembinaan semula Pasar Pasir Pinji, baru-baru ini.

Beliau berkata, istilah ‘referendum’ membawa implikasi terhadap suatu perubahan polisi sedangkan tiada perbincangan lanjut mengenainya, justeru beliau menarik balik penggunaaan perkataan tersebut.

Namun begitu, beliau menegaskan, selain daripada kesalahan penggunaan istilah ‘referendum’ berkenaan, pungutan pendapat rakyat yang telah berlangsung pada 22 dan 23 Jun lalu itu adalah sah dan diperakui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penggunaan istilah ‘referendum’ merupakan satu mekanisme untuk membuat keputusan tetapi isunya, dalam perlembagaan kita, tidak wujud perkara itu.

“Itulah kesalahan saya dan pasukan saya. Kita buat benda ini bukan untuk membuat keputusan sebaliknya kerajaan yang kena buat keputusan, yang itu saya hendak minta maaf,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 anjuran Majlis Sukan Negeri di sini hari ini.

Howard diminta mengulas kenyataan Ahmad Faizal baru-baru ini yang menegaskan bahawa referendum bukanlah satu prosedur operasi standard (SOP) dalam penentuan terhadap pembinaan semula pasar di negeri ini, malahan Ahmad Faizal sendiri mengakui tidak dimaklumkan mengenainya.

Pada 17 Jun lalu, Howard mengumumkan bahawa buat julung kalinya pihaknya akan mengadakan satu referendum pengundian awam bagi menentukan sama ada pembangunan semula projek Pasar Pasir Pinji dapat diterima oleh rakyat untuk diteruskan di Kampung Baru Pasir Pinji di sini atau sebaliknya.

Projek awam pertama melibatkan keputusan orang ramai secara langsung bagi menentukan nasib pasar berusia lebih 60 tahun itu, antara lain bertujuan bagi memastikan pengurusan yang berkesan dalam penggunaan kutipan cukai rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini