Adakah Mohd. Firdaus percaya sekarang masalah dadah di Langkawi parah - Nawawi - Utusan Malaysia

Adakah Mohd. Firdaus percaya sekarang masalah dadah di Langkawi parah – Nawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad secara sinis mempersoalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd. Firdaus Ahmad yang sebelum ini menyifatkan masalah dadah di pulau peranginan tersebut tidak terlalu parah.

Katanya, kejayaan polis memberkas seramai 118 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah dadah semalam membuktikan kenyataannya sebelum ini bahawa masalah dadah di Langkawi parah sememangnya berasas dan bukannya bermotifkan politik seperti mana dakwaan Mohd. Firdaus.

Jelas beliau, masalah dadah di Langkawi adalah hakikat yang perlu diterima semua pihak dan bukannya cuba diselindungkan hanya disebabkan kawasan berkenaan diwakili Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya saya hendak tanya kembali kepada Mohd. Firdaus adakah beliau masih hendak mempertahankan kononnya masalah dadah di Langkawi tidak serius. Sekarang Mohd. Firdaus boleh tengok sendiri bagaimana dalam tempoh beberapa hari sahaja seramai 118 orang individu ditahan berkaitan dadah,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, ekoran kebimbangan pelbagai pihak mengenai masalah dadah di Pulau Langkawi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menggempur pulau peranginan itu sejak beberapa hari lalu dan memberkas seramai 118 orang yang disyaki terlibat dalam jenayah itu.

Operasi besar-besaran melibatkan pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, membuktikan bahawa masalah dadah di pulau peranginan tersebut semakin membarah apabila mereka yang ditangkap, termasuklah remaja seawal usia 13 tahun.

Polis turut mengesan sekurang-kurangnya tujuh kawasan di sekitar pulau peranginan tersebut yang dipercayai menjadi ‘port’ penyalahgunaan dadah membabitkan pelbagai latar belakang individu.

Sebelum ini, Mohd. Firdaus menyifatkan masalah penyalahgunaan dadah di Pulau Langkawi tidak terlalu parah seperti yang digambarkan media dan pihak-pihak tertentu kerana pihak polis dan agensi-agensi berkaitan sentiasa melakukan pemantauan dan operasi bagi membanteras gejala itu.

Wakil rakyat Bersatu itu dilaporkan berkata, malah kenyataan Nawawi yang menyifatkan pengedar-pengedar dadah besar bebas membekalkan barang terlarang itu kepada ‘tokan’ adalah tidak tepat dan bermotifkan politik kerana Langkawi ketika ini diwakili Perdana Menteri.

Pada 23 Jun lalu, Mingguan Malaysia dalam temubual eksklusif bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melaporkan, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti jika lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segera.

Sementara itu, Nawawi mengucapkan tahniah dan gembira atas kejayaan pihak polis memberkas ramai individu yang dikaitkan dengan jenayah dadah di Langkawi.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Langkawi yang dahulu dan sekarang kerana komited membanteras dadah di pulau itu. Saya percaya akan lebih ramai lagi ditahan selepas ini,” kata bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini