KOTA BHARU – Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyaksikan kejutan yang ‘mengejutkan’ apabila Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menarik diri daripada perebutan jawatan No.1 badan induk itu esok.
Abdul Rashid berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti pelbagai perkara yang menjadi asas utama kepada usaha menggerakkan bola sepak Kelantan terutama faktor kewangan.
Menurutnya, komitmen dan tumpuan sedia ada kepada urusan parti di peringkat negeri dan pusat turut menjadi faktor beliau menarik diri.
“Saya turut mempunyai tugas khas mengendalikan satu jawatankuasa penting berkaitan dengan reformasi pilihan raya yang memerlukan banyak masa dan tenaga.
“Jadi ruang untuk saya mengendalikan Kafa amat terhad lebih-lebih lagi dengan tanggungan hutang yang banyak,” katanya dalam satu kenyataan.
Penarikan diri Abdul Rashid menyaksikan jawatan presiden kini pertarungan satu lawan satu iaitu antara Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.
Abdul Rashid memberitahu, kewangan merupakan perkara yang paling mustahak kerana berfungsi sebagai ‘jantung’ pasukan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim berikutnya.
Katanya, tanpa kantung kewangan yang kukuh, agak sukar untuk menggerakkan pasukan.
“Lagipun saya difahamkan Kafa sedang berdepan dengan hutang lapuk pengurusan terdahulu termasuklah hutang semasa yang difahamkan mencecah belasan juta ringgit,” ujarnya.
Abdul Rashid berkata, jika kos menggerakkan pasukan hanya sekitar RM5 juta, beliau yakin masih mampu mencari jalan untuk mengumpul kos sebanyak itu. – UTUSAN ONLINE











