KUALA LUMPUR – Seramai 78 wanita warga asing yang disyaki berperanan sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 12.50 malam selepas didapati beroperasi tanpa lesen selain disyaki menawarkan perkhidmatan GRO dalam kalangan wanita warga asing kepada pengunjung.
“Wanita warga asing yang ditahan berusia 19 hingga 38 tahun dan pihak polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas wanita warga asing yang ditahan mendapati 72 daripada mereka merupakan warganegara Thailand, lima dari Laos dan seorang dari China,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rusdi, pihaknya turut merampas beberapa unit peralatan audio, resit jualan serta sejumlah wang tunai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 6(1) Akta Imigresen, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen serta Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992,” tegas beliau. – K! ONLINE











