PASIR GUDANG – Tujuh sampel darah dan air kencing mangsa pencemaran udara diambil untuk dianalisis bagi mengesan bahan kimia yang menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah-muntah.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengesan bahan kimia yang terdapat dalam insiden pencemaran udara di sini.
“Ujian dijalankan sama ada sampel ini mengandungi bahan kimia atau tidak.
“Keputusannya akan kita ketahui selepas kita mengambil data daripada pemantuan kualiti udara 85 sekolah yang dijalankan serentak petang ini.
“Sampel darah dan urin kita akan analisis sama ada mempunyai kaitan atau tidak dengan data yang dikumpulkan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz. –
Bee Yin berkata, bahan kimia yang akan dianalisis kali ini adalah karbon monoksida (CO), hidrogen sulfida (H2S) dan Volatile Organic Compounds (VOC). – UTUSAN ONLINE











