KUALA LUMPUR – Tujuh penagih dadah termasuk dua warga Indonesia ditahan dalam serbuan Op Sarang yang dilakukan di sekitar kawasan Batu 6 Jalan Gombak Lama, Kampung Tengah, Kampung Changkat, Gombak dan Kampung Laksamana, Selayang, dekat sini semalam.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bermula pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang.
Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 22 hingga 57 tahun, tidak mempunyai kerja tetap dan dipercayai giat mendapatkan bekalan dadah untuk tujuan aktiviti penagihan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, hasil pemeriksaan terhadap semua suspek berjaya merampas dadah disyaki heroin (0.18 gram), Ganja (1.49 gram) dan 1.2 liter air ketum dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM2,000.
“Kita turut mengesan pelbagai kesalahan iaitu empat kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (1); Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (1) dan satu kes di bawah Seksyen (3) 1 Akta Penagihan Dadah 1993.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Mahkamah Selayang pada hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, menurut Samsor, pihaknya turut melakukan serbuan di sekitar Rawang dekat sini pada 26 Jun lalu dan berjaya menahan enam orang atas kesalahan melibatkan dadah.
Tambahnya, hasil pemeriksaan berjaya merampas dadah disyaki heroin seberat 20.42 gram dan syabu (0.80 gram). – UTUSAN ONLINE











