KUALA LUMPUR – Sebanyak 583 pemilik bangunan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi berlaku kebakaran perlu memperbaharui Sijil Perakuan Bomba (FC) setiap tahun.
Menurut portal Utusan Borneo, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, perkara itu penting bagi memastikan setiap bangunan tersebut memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
“Mereka (pemilik bangunan) harus memenuhi syarat yang diperlukan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 di mana mereka perlu memperbaharui sijil kebakaran (FC) setiap tahun.
“Ini penting demi memastikan keselamatan dan nyawa pengunjung di setiap bangunan yang mempunyai risiko tinggi kebakaran di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis ramah tamah Hari Raya Aidilfitri dan Gawai 2019 JBPM Sarawak di Dewan Serbaguna JBPM Negeri Sarawak di sini malam Ahad.
Hamdan menegaskan, jika pemilik gagal memperbaharui FC boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 dan juga boleh dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Ini kerana kita tidak mahu jika berlakunya kematian disebabkan kebakaran bangunan, nilai nyawa itu tidak boleh kita bandingkan dengan nilai pampasan, kita mahu ia diambil satu tindakan yang serius,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











