KUALA LUMPUR 19 Julai – Hasil kajian dijalankan Workday dan IDC Asia Pasifik sebanyak 93 peratus organisasi di Malaysia menjalani transformasi digital dan 55 peratus daripadanya terperangkap dalam usaha itu.
Presiden Workday Asia, Rob Wells berkata, usaha syarikat tempatan ke arah melabur di dalam teknologi seiring dengan ekonomi digital Malaysia pesat berkembang.
Katanya, meskipun begitu, masih banyak perlu dilakukan untuk memecahkan tindakan syarikat yang bersifat silo untuk membawa perubahan di peringkat perusahaan.
“Usaha transformasi digital sesebuah perniagaan tidak dianggap menyeluruh jika satu daripada jabatan mereka masih melakukannya secara manual dan melalui mekanisme berasaskan kertas.
“Jabatan sumber manusia misalnya masih ada yang menggunakan kertas sudah ketinggalan zaman dan tiba masanya bagi syarikat meletakkan mereka sebagai sebahagian daripada transformasi digital selain hanya memberi tumpuan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kajian oleh Workday, peneraju global dalam teknologi perusahaan bagi kewangan dan sumber manusia mendapati syarikat Malaysia menerajui Asia Pasifik dalam melihat pulangan daripada inisiatif transformasi digital dengan 58 peratus eksekutif peringkat C.
Sebagai perbandingan, hanya 47 peratus daripada syarikat di Singapura dan 34 peratus di Jepun telah melihat pulangan.
Kajian bertajuk Disfungsi Digital di Asia Pasifik melihat kepada halangan kepada transformasi digital daripada perspektif 1,000 eksekutif peringkat C dan pemimpin perniagaan dalam sumber manusia, kewangan dan teknologi maklumat.
Eksekutif peringkat C meliputi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO).
Lebih 52 peratus mengatakan bahawa inisiatif transformasi digital adalah tidak selaras diikuti 73 peratus (jabatan sumber manusia) kekurangan pelan pelaksanaan transformasi digital.











