GAZA 10 Julai – Pusat untuk Kajian Tahanan Palestin (PPCS) mendedahkan Israel telah mengeluarkan sebanyak 432 perintah tahanan pentadbiran terhadap rakyat Palestin sejak awal tahun ini.
Lapor Palestine News Network, pendedahan itu dibuat menerusi laporan yang dikeluarkan oleh PPCS semalam.
Tahanan pentadbiran merupakan cara Israel menahan penduduk Palestin tanpa membuat sebarang pendakwaan atau perbicaraan
Berita berkaitan:
Jurucakap PPCS, Riyadh al-Ashqar berkata, jumlah tahanan itu merangkumi 294 perintah yang diperbaharui dan 138 perintah baharu.
Menurut Riyadh, perintah itu dikeluarkan untuk tempoh antara dua dan enam bulan.
Ujarnya lagi, penahanan rakyat Palestin yang berterusan tanpa perbicaraan jelas sekali melanggar undang-undang dan konvensyen antarabangsa.
Sehingga kini, terdapat kira-kira 500 rakyat Palestin yang ditahan di bawah penahanan pentadbiran termasuklah empat ahli Parlimen, dua kanak-kanak serta seorang wanita.
Seramai enam tahanan telah melancarkan mogok lapar bagi membantah penahanan rakyat Palestin yang berterusan.
Riyadh juga menyeru kepada komuniti antarabangsa agar mendesak Israel menamatkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
Selain itu, beliau menggesa Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk membawa isu berkaitan penahanan pentadbiran ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).











