MIRI – Sebanyak 34 individu ditahan selepas terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan dengan penyalahgunaan dadah dalam operasi bersepadu selama 13 jam meliputi lima kawasan di daerah Subis.
Dalam operasi bermula kira-kira pukul 2 petang sehingga awal pagi ini melibatkan 28 anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kesemua 34 yang ditahan di kawasan Kampung Madinah, Simpang Ngu, Ladang SOPB, Kampung Beraya dan Kampung Kejapil.
“Hasil serbuan itu, dadah jenis methaphetamine seberat 9.57 gram bernilai RM1,900 turut dirampas,”katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.
Tambah Meng Seah, kesemua yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-BERNAMA











