KEMAMAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan tiga buah bot nelayan asing bersama nilai rampasan RM3 juta dalam satu operasi Op Iman kira-kira 73 hingga 104 kilometer Timur Laut Kuala Kemaman, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, seramai 34 awak-awak serta tekong warga Vietnam itu ditahan dalam satu operasi kira-kira pukul 5.55 petang ketika mereka sedang menangkap ikan.
Kesemua yang ditahan itu terdiri daripada 32 orang awak-awak dan tekong warga Vietnam berusia 16 hingga 59 tahun manakala, dua lagi warga Thailand berusia 38 dan 47 tahun.
Tangkapan pertama dilakukan pada pukul 11.35 pagi pada kedudukkan 73 batu nautika diikuti pukul 5.15 petang dan 5.55 petang pada jarak 104 batu nautika.
“Semasa pihak kami melakukan pemeriksaan ke atas vesel tersebut, didapati tekong dan awak-awak gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen pengenalan diri yang sah.
“Nelayan berusia 16 dan 59 tahun itu boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas vesel berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai penahanan bot itu di Jeti Pangkalan Maritim Kemaman, di sini hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga vesel tersebut disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 dan jika disabitkan kesalahan, tekong berkenaan boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun.
“Hasil pemeriksaan oleh pihak kami mendapati nilai rampasan adalah anggaran RM3 juta, termasuk nilai tiga buah vesel, ikan dan juga peralatan menangkap ikan.
“Hasil laut yang telah dicuri adalah sebanyak 2,600 kilogram, di mana 2,500 kilogram merupakan ikan campur dan 1,000 kilogram lagi adalah ikan baja selain diesel dengan anggaran 1,250 liter,” tambahnya.
“Siasatan awal kami juga mempercayai bahawa ketiga-tiga bot ini menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Rashidilhadi berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1)(c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Perintah reman terhadap kesemua tahanan selama 14 hari dan akan berakhir pada 24 Julai depan,” katanya.
Jelasnya lagi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing. -UTUSAN ONLINE











