PASIR PUTEH – Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebanyak 280 kilogram daun ketum yang sedang dipindahkannya dari sebuah kereta ke dalam sebuah kereta lain di Kampung Telaga Papan, Semerak, di sini semalam.
Ketika intipan sekitar 10 malam, suspek berusia 51 tahun dilihat sedang memunggah bungkusan plastik hitam dari kereta Perodua Kancil masuk ke dalam kereta Volkswagen Golf GTI 2.0 di hadapan sebuah rumah tidak bernombor.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, susulan intipan tersebut, 10 anggota segera ke lokasi rumah terbabit setengah jam kemudian lalu memperkenalkan diri sebagai polis, namun suspek cuba melarikan diri.
“Berlaku pergelutan di antara polis dengan suspek terbabit namun dia berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Kancil dan Volkswagen menemui 28 bungkusan plastik hitam mengandungi daun hijau siap dibungkus dengan plastik cerah. Anggaran berat ialah 140 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini hari ini.
Mohd. Azmir berkata, polis merampas kesemua 28 bungkusan daun ketum terbabit dan menyita dua kenderaan yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Menurutnya, suspek yang merupakan seorang penganggur direman selama empat hari dan mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Kedua-dua kereta didaftar atas nama individu lain masing-masing di Klang dan Cheras namun kita tidak menerima laporan ia hilang atau dicuri oleh pemiliknya.
“Kita percaya pengedar ketum kini menggunakan modus operandi menggunakan kereta mewah untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











