280 kilogram daun ketum dirampas - Utusan Malaysia

280 kilogram daun ketum dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan bersama 280 kilogram daun ketum yang disumbat dalam dua buah kereta di Kampung Telaga Papan, Semerak, di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 11.30 malam, polis menahan suspek semasa sedang memunggah bungkusan plastik hitam dari sebuah kereta Perodua Kancil ke dalam kereta Volkswagen Golf 2.0 GTi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, seramai 10 pegawai dan anggota terlibat dalam serbuan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebaik menyedari kehadiran polis suspek terbabit bertindak melarikan diri. Berlaku pergelutan antara polis dengan suspek terbabit namun dia berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta Kancil menemui 14 bungkusan plastik hitam mengandungi susunan daun hijau yang siap dibungkus dengan plastik cerah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui 14 lagi bungkusan hitam daun ketum yang disumbat di dalam kereta Volkswagen.

“Polis merampas 28 bungkusan plastik hitam setiap satunya seberat 10 kilogram dan dua kenderaan yang digunakan. Anggaran berat kesemua daun ketum itu ialah 280 kilogram dengan nilai RM8,300.

“Suspek yang merupakan seorang penganggur itu direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah namun dia mempunyai lapan rekod kes lampau berkaitan dadah.

“Siasatan ke atas dua kenderaan itu mendapati ianya didaftarkan atas nama orang lain dari Klang, Selangor dan dari Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua kereta tidak dilaporkan hilang atau dicuri oleh pemiliknya. Pengedar daun ketum ini menggunakan modus operandi menggunakan kereta jenama luar negara untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.Tambahnya, polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini