PULAU PINANG 10 Julai – Polis menahan 25 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai di sini semalam selepas didapati menawarkan perkhidmatan tidak bermoral kepada pelanggan
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.50 malam itu, kebanyakkan GRO berusia 20 hingga 40 itu sedang mempamerkan tubuh badan di atas pentas untuk menarik perhatian pelanggan.
Difahamkan, GRO yang terpilih kemudiannya akan dikalungkan sehelai selempang khas oleh pelanggan sebelum dibawa untuk menemani pelanggan atau bersiar-siar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Pulau Pinang itu dibuat selepas risikan dibuat selama kira-kira dua minggu di premis itu.
“Hasil siasatan mendapati GRO ini mampu meraih pendapatan di antara RM300 hingga RM400 sehari dengan melayan pelanggan minum dan berkaraoke.
“Tiada perkhidmatan seks ditawarkan namun kita percaya ada pelanggan yang membawa GRO tersebut ke tempat lain,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau selain GRO wanita, seramai lapan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki Indonesia dan seorang lelaki Pakistan berusia 20 hingga 50 tahun yang bekerja di premis itu serta seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan pemilik pusat hiburan itu turut ditahan.
“Kesemua GRO itu didapati melakukan kesalahan menyalahguna pas lawatan sosial dan tiada permit untuk bekerja di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Zainol berkata, premis tersebut yang beroperasi pukul 6 petang hingga 3 pagi setiap hari bukan sahaja didapati menggunakan khidmat warga asing tanpa permit tetapi turut didapati tiada lesen.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE











