ISKANDAR PUTERI 28 Julai – Dua suspek termasuk seorang wanita ditahan di sebuah hotel di Taman Bukit Indah di sini kerana dipercayai menipu dan melarikan dua buah telefon bimbit daripada seorang jurujual lelaki pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 31 dan 23 itu ditahan pukul 7.20 petang kelmarin oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Menurut Dzulkhiri, hasil siasatan pihaknya merampas sebuah kereta jenis Mitsubishi Galant, dua kunci kerreta dan alat penggera, dua telefon bimbit jenis Vivo dan Oppo, satu beg hitam, sehelai sweater dan sehelai baju blaus warna hijau.
“Kita turut merampas 10 peket dadah berisi syabu dengan berat keseluruhan kira-kira 10.66 gram disyaki untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian pukul 10.45 malam pada Khamis lalu, jurujual lelaki itu kerugian RM6,000 setelah ditipu dua suspek dalam satu pertemuan di pekarangan Hospital Columbia Asia, Taman Bukit Indah kononnya untuk membeli dua telefon bimbit itu.
Mangsa yang berniaga telefon bimbit secara atas talian sebelum itu membuat temu janji di kawasan tersebut sebelum suspek wanita berusia 23 tahun itu bersetuju membelinya namun memberitahu mahu mengambil wang dalam kereta.
Suspek yang kemudian memasuki kenderaannya terus memecut meninggalkan mangsa yang turut ditemani adiknya pada masa kejadian tetapi sempat mengambil gambar dan nombor pendaftaran kereta itu sebelum membuat laporan polis.
Dzulkhairi berkata, saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek tersebut positif dadah dan hasil siasatan mereka mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama-sama seorang lagi rakannya yang masih bebas.
Justeru katanya, pihak polis sedang memburu suspek masih bebas itu yang merupakan seorang lelaki berusia 30-an.
Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri selain Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 atas kesalahan dadah. – UTUSAN ONLINE











