JOHOR BAHRU – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengesahkan 17 pemain, beberapa jurulatih serta kakitangan mereka dijangkiti virus Influenza.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan berkata, mereka yang terlibat terdiri daripada 10 pemain pasukan utama JDT, empat dari JDT II dan tiga JDT III.
Menurutnya, pihak kelab sudah mengambil langkah untuk mengawal penularan virus dan menghantar semua pemain, jurulatih dan kakitangan bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.
Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan proses sanitasi kawasan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk semua.
“Dukacita kami maklumkan bahawa skuad Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim telah dijangkiti virus Influenza.
“Daripada jumlah itu, 10 pemain pasukan senior JDT, empat dari JDT II, tiga dari JDT III dan beberapa jurulatih serta kakitangan telah diuji positif virus tersebut,” kata Edwards.
Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers turut memuat naik beberapa gambar petugas kesihatan sedang melakukan pemeriksaan di pusat latihan Harimau Selatan.
Edwards bagaimanapun tidak menyatakan senarai pemain, jurulatih dan kakitangan yang dijangkiti virus berkenaan.
JDT yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut akan mengharungi aksi liga berdepan PJ City di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Rabu ini.
Sementara itu, JDT II pula akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana, esok. – UTUSAN ONLINE











