LANGKAWI 8 Julai – Seramai 102 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi khas bersepadu selama 46 jam di hampir 90 lokasi di sekitar pulau peranginan ini.
Operasi yang bermula sejak Jumaat lalu hingga pukul 6 pagi semalam membabitkan lokasi termasuk di jeti kelab kapal layar, pulau peranginan persendirian, pasar raya, tapak pembinaan dan rumah kongsi.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, pihaknya turut memeriksa rumah-rumah yang disyaki disewa golongan itu selain menyasarkan kelab malam, restoran dan kedai cuci kenderaan di Pantai Chenang dan Kuah.
Ujar beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada 53 orang warga Myanmar, Bangladesh (22), Indonesia (11), Thailand (11), Nepal (2), Pakistan (2) dan India (1).
“Tindakan diambil di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar atau gagal mematuhi mana-mana syarat pas, permit atau pas sempadan, selain tinggal lebih masa,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, malam tadi.
Zuhair berkata, semua yang ditahan dibawa ke Lokap Imigresen di Kompleks KDN tersebut untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke depoh tahanan di Belantik, Sik.
“Kami memandang serius isu kebanjiran PATI di pulau ini serta lokasi-lokasi lain dan akan meneruskan operasi seumpama itu bagi membanteras masalah yang turut menyumbang ke arah kegiatan jenayah.
“Operasi kali ini membabitkan empat pegawai kanan dan 13 anggota Imigresen yang dilakukan berikutan aduan awam mengenai bimbang mereka tentang kehadiran PATI di pulau terbabit,” katanya. -UTUSAN ONLINE











