RIYADH 8 Julai – Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud mengeluarkan arahan untuk menjadi tuan rumah kepada 1,000 rakyat Palestin untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Rakyat Palestin itu akan menunaikan ibadah terbabit di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci untuk Haji dan Umrah yang dilaksanakan serta diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi, Panggilan dan Bimbingan Arab Saudi yang diadakan pada setiap tahun.
1,000 orang tetamu itu merupakan ahli keluarga kepada penduduk Palestin yang syahid dan ketibaan mereka menjadikan jumlah peserta program itu mencecah angka 17,000 orang tahun ini.
Lapor Saudi Gazette, Menteri Hal Ehwal Islam, Abdullatif Al- Asheikh yang merupakan penyelia program itu menyuarakan penghargaan kepada Raja Salman atas keprihatinan baginda terhadap Palestin dan rakyatnya.
“Pihak kementerian dengan kerjasama pelbagai agensi akan bertindak pantas untuk melengkapkan prosedur yang perlu menerusi kedutaan Arab Saudi di Mesir dan Jordan untuk ketibaan mereka menaiki pesawat khas,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Saudi Arabian Airlines (Saudia) memberitahu pihaknya meningkatkan operasi syarikat dengan menambah 17 pesawat baharu daripada 165 jet sedia ada yang mampu membawa 1.2 juta jemaah dari 100 destinasi seluruh dunia untuk musim haji kali ini.
Menurut syarikat penerbangan itu, jumlah jemaah yang akan diterbangkan pada musim haji kali ini meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.
Ketua Pengarah Saudia, Saleh Al- Jasser berkata, semua sektor penerbangan akan digerakkan secara maksimum untuk memastikan kesemua jemaah dapat menikmati layanan terbaik yang akan diberikan syarikatnya.– AGENSI











