10 tahun pengasuh jaga kanak-kanak OKU ditinggalkan ibu - Utusan Malaysia

10 tahun pengasuh jaga kanak-kanak OKU ditinggalkan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kasih sayang seorang ibu mendorong Noraini Muda, 43, menggalas tanggungjawab menjaga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang diasuhnya selepas ibu kandung anak istimewa yang menghidap ‘cerebral palsy’ itu lari menghilangkan diri sejak 10 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Noraini dari Kampung Laut di sini berkata, pada mulanya dia berat hati untuk menerima kehadiran Muhammad Danish Iskandar Abdullah, 13, disebabkan suaminya, Rozmi Awang, 50, yang cuma bekerja sebagai nelayan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga di samping dua anak yang masih kecil dan bersekolah.

Katanya, Muhammad Danish Iskandar diasuh sejak berusia empat bulan bagi memenuhi permintaan ibu kanak-kanak berkenaan untuk menjaga anaknya selama sebulan bagaimanapun tempoh jagaan berlarutan, bahkan dalam masa dua tahun selepas itu, wanita tersebut hanya datang membawa lampin pakai buang dan susu sahaja.

“Ibunya minta saya jaga selama sebulan sahaja dengan menjanjikan bayaran RM300. Saya terus terima sebab mahu tambah pendapatan keluarga dengan mengasuh budak.

“Sehingga kini sudah 10 tahun Muhammad Danish Iskandar bersama saya dan tiada khabar berita daripada ibunya yang gagal dihubungi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Noraini berkata, anak angkatnya disahkan menghidap ‘celebral palsy’ ketika berusia enam tahun selepas mengalami sawan buat kali pertama semasa di bawah jagaannya dan perkara itu sudah dijangka memandangkan tumbesarannya yang tidak normal seperti kanak-kanak lain.

Katanya, kerana kasih dan sayang dia memutuskan untuk menukar hak penjagaan Muhammad Danish Iskandar pada tahun lalu selepas berpeluang bertemu semula dengan ibu kandung kanak-kanak tersebut yang berjaya dijejaki pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menyelesaikan urusan membuat kad pengenalan anak angkatnya.

“Saya sudah anggap dia macam anak sendiri dan tak akan beri kepada orang lain, sekalipun saya mati, anak ini akan diserahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya tidak harapkan orang lain untuk bela dia kerana tidak sama dengan saya menjaganya terutama dari segi makan dan minumnya yang memerlukan penjagaan teliti,” kata ibu kepada dua anak lelaki berusia 21 tahun dan 25 tahun.

Bagaimanapun, Noraini bersyukur kerana dia menerima bantuan RM350 daripada JKM untuk menjaga Muhammad Danish Iskandar manakala RM200 lagi bagi menampung keperluan anak angkatnya itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN