KUALA LUMPUR – Pertubuhan amal Animal for Young baru-baru ini menganjurkan pertandingan Young Ninja Warrior 2 di Sunway Velocity Mall, Cheras di sini bagi membantu kanak-kanak meningkatkan perkembangan minda dan fizikal.
Program itu mengetengahkan pelbagai cabaran berhalangan yang bertujuan membangun dan menguasai kemahiran motor, keseimbangan badan dan komunikasi interaktif.
Pengasas Animal for Young, Dr. E. Joon Khew berkata, Young Ninja Warrior 2 bukan sahaja memberi kegembiraan malah melatih peserta untuk berdepan dengan cabaran, menempuh halangan dan bersaing dengan kanak-kanak yang lain.
“Melalui permainan ini, mereka akan belajar tentang kasih sayang dan belas ehsan. Ia merupakan teras dalam mewujudkan generasi masa depan yang lebih penyayang dan bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, program itu dikenakan bayaran sebanyak RM15 untuk setiap kanak-kanak dan kutipan akan disalurkan kepada tabung kanak-kanak autisme.
“Semua sumbangan yang dikumpul akan disalurkan sepenuhnya kepada pertubuhan, A Plus for Autism dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penerimaan umum kepada kanak-kanak autisme di Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











