Warga emas dilapor hilang beraya di Kelantan - Utusan Malaysia

Warga emas dilapor hilang beraya di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Seorang warga emas berusia 73 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya
di Kampung Jalan Anak Air Sepam, Rembang Panas dekat sini sejak empat hari lalu ditemui selamat hari ini.

Bekas pesara tentera itu, Abd. Hamid Minhaj ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung di Pekan Juasseh semasa dia menuruni bas awam yang datang dari arah Seremban pada 7.30 pagi.

Anak Abd. Hamid, Suhaimi, 39, berkata, bapanya semasa ditemui penduduk kampung mendakwa dia tidak hilang sebaliknya pergi beraya di Kelantan dengan menaiki bas sejak 24 Jun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia beritahu ada tinggalkan nota dalam bilik tidur mahu pergi ke Kelantan untuk beraya, tetapi ahli keluarga saya tidak jumpa nota itu. Kami bimbang kerana dia tinggalkan rumah sehelai sepinggang dan cuma membawa beg duit.

“Saya tidak pasti di mana dia menetap sepanjang empat hari lalu jika benar dia berada di Kelantan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini semalam.

Suhaimi yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Kuala Pilah berkata, bapanya lama berkhidmat sebagai anggota tentera di Kelantan dan warga emas itu kelihatan begitu penat semasa ditemui.

Menurutnya, dia seterusnya membawa bapanya ke Klinik Kesihatan Juasseh untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana kaki warga emas itu kelihatan bengkak dipercayai akibat terlalu banyak berjalan.

Maklumat tentang kehilangan bekas pesara tentera itu tular di media sosial sejak 24 Jun lalu selepas ahli keluarganya bertindak membuat laporan polis.

Abd. Hamid disedari hilang dari rumahnya pada pukul 9 pagi dan kali terakhir dilihat membaca akhbar di anjung rumahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini