Wanita Australia digelar 'kembar' Meghan Markle - Utusan Malaysia

Wanita Australia digelar ‘kembar’ Meghan Markle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE – Seorang jurulatih peribadi di Australia telah digelar sebagai ‘kembar’ Meghan Markle dan sering didekati orang ramai yang menyangka dia ialah isteri kepada pewaris keenam takhta Britain, Putera Harry.

Bianca Burgdorf, 29, menyatakan beberapa orang rakan dan saudara-maranya memberitahu dia mempunyai paras rupa mirip Markle yang merupakan pelakon Hollywood dan kini dikenali sebagai Duchess of Sussex selepas berkahwin dengan anak Putera Charles dan mendiang Puteri Diana itu.

“Saya sebenarnya tidak mengenali Markle sebelum dia muncul dalam drama Suits. Tayangan episod pertama drama itu menyebabkan tiga orang menghantar mesej memberitahu saya mempunyai rupa paras yang kelihatan sama dengannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada mulanya saya tidak mengendahkannya tetapi populariti Markle yang semakin meningkat disebabkan hubungannya dengan Putera Harry dan komen daripada orang ramai mengenai rupa paras mirip dengannya semakin bertambah,” kata Burgdorf baru-baru ini seperti dilaporkan akhbar Daily Mail.

Ibu anak satu itu juga berasa lucu apabila ramai yang menghantar mesej betapa mukanya dan Markle semakin serupa apabila Duchess of Sussex itu memakai baju pengantin pada hari perkahwinannya dengan Putera Harry.

Markle mempunyai darah campuran hasil perkahwinan ibu berkulit hitam dan ayah berkulit putih manakala Burgdorf pula mempunyai darah keturunan Itali.

“Seorang penjaga kaunter di sebuah pasar raya tempat saya membeli-belah pernah merenung tajam ke arah saya sebelum berpaling ke arah suami saya. Dia mengatakan jika suami saya berambut merah mungkin dia akan percaya saya ialah Markle,” jelas Burgdorf.

Katanya, dia berasa terharu kerana dibandingkan dengan Markle.

“Dia seorang wanita yang cantik dan hebat. Sudah menjadi satu tradisi dalam keluarga saya sekarang untuk mengumumkan ‘ketibaan Meghan Markle’ setiap kali saya hadir ke sesuatu majlis,” tambahnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini