Pengeluar gula bertapis pada minggu lalu kecewa dengan keputusan kerajaan yang meluluskan permit import (AP) kepada lapan pengeluar makanan dan minuman (F&B) di Sarawak.
Menurut MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), keputusan kerajaan itu dibuat tanpa memahami sepenuhnya latar belakang, tanggungjawab semasa terhadap industri gula tempatan serta impak jangka sederhana dan panjang terhadap bekalan gula dan keselamatan negara.
Harga runcit gula bertapis semasa di Malaysia adalah pada RM2.85 sekilogram yang mana ia adalah yang termurah di dunia.
Kesan AP kepada industri
Gula merupakan komoditi penting yang digunakan secara meluas dalam industri global. Kekurangan bekalan gula dalam pasaran menyebabkan permintaan melebihi penawaran dan mendorong harganya meningkat.
Jika negara berdepan kekurangan bekalan atau ketidakupayaan pengeluar untuk memenuhi permintaan, kerajaan perlu mengimport gula sama ada secara langsung atau melalui AP.
Namun, keadaannya berbeza di Malaysia apabila bekalan gula mencukupi dan pengeluar gula bertapis tempatan menyimpan stok antara dua hingga tiga bulan yang bernilai RM180 juta dan RM210 juta. Kos tahunan yang ditanggung antara RM7 juta dan RM20 juta.
Tindakan kerajaan yang meluluskan AP dikhuatiri membawa kepada lebihan bekalan gula dalam pasaran yang menyebabkan pengeluar gula bertapis tempatan mengalami kerugian. MSM telah membelanjakan RM1.1 bilion untuk kilang penapisan di Tanjung Langsat, Johor bagi mempertingkatkan pengeluaran.
Pada masa sama, gula yang dibawa masuk itu mempunyai kualiti yang rendah yang mana pihak yang berniat mengaut keuntungan seperti orang tengah akan membeli gula bertapis tidak berkualiti untuk digunakan di pasaran tempatan. Mereka masih mempunyai ‘misi’ memaksimumkan keuntungan syarikat berbanding rasa tanggungjawab kepada masyarakat.
Pengguna akhir
Standard tinggi diperlukan dalam penghasilan gula termasuk memiliki sijil halal. Ini penting bagi memenuhi permintaan pasaran Malaysia yang unik.
Gula yang diimport oleh syarikat-syarikat yang menerima AP mungkin tidak memiliki sijil halal dan jika ada ia akan diragui kesahihannya. Selepas gula tersebut menjalani proses untuk menjadi produk akhir, status halal produk tersebut juga akan diragui.
Tanzania pada 2016 berdepan masalah kekurangan bekalan gula dan kerajaan negara itu telah mengeluarkan AP untuk menampung permintaan domestik. Bagaimanapun, ada antara gula yang diimport itu berkualiti rendah selain berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.
Tindakan kerajaan
Antara persoalan yang timbul adalah mengapa kerajaan meluluskan permit AP sedangkan bekalan gula mencukupi? Adakah dengan mendengar keluhan daripada lapan pengeluar F&B di Sarawak sudah cukup untuk pertimbangan kerajaan meluluskan AP tanpa perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan lain?
Keputusan terburu-buru dan mengejut itu tidak digemari oleh pengeluar gula bertapis tempatan. Jika wujud dakwaan harga gula mahal di Sarawak, perkara itu harus disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan meminta penjelasan daripada pihak terlibat.
Pandangan industri juga harus diambil kira dengan mengadakan perbincangan bersama bagi mengelakkan wujud rasa tidak puas hati selain membuat keputusan berat sebelah. Mengetahui masalah sebenar yang dihadapi oleh pengeluar-pengeluar gula membuka ruang kepada jalan penyelesaian yang lebih adil berbanding menambah masalah kepada industri gula di kemudian hari.
Sekiranya kerajaan tetap dengan keputusan meluluskan AP berkenaan, syarat-syarat import yang lebih ketat perlu dikenakan kepada syarikat-syarikat terlibat supaya kualiti, pemeriksaan berkala, disahkan halal serta tidak membahayakan keselamatan pengguna.
Membuat keputusan yang populis tidak salah, tetapi ia harus berpaksi kepada fakta dan realiti sebenar. Jangan kerana hendak mengambil hati pihak-pihak tertentu, industri gula tempatan menjadi mangsa. Ia ibarat menang sorak kampung sendiri tergadai.











