[VIDEO] Suspek kes bunuh duda bertindak agresif cuba tendang jurugambar - Utusan Malaysia

[VIDEO] Suspek kes bunuh duda bertindak agresif cuba tendang jurugambar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Seorang suspek kes bunuh bertindak agresif dengan cuba menendang dua jurugambar akhbar sambil memberi amaran agar wajahnya tidak dirakam ketika dia dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tindakan kasar lelaki berusia 43 tahun itu bagaimanapun berjaya dikawal oleh anggota polis sebelum dia dibawa masuk ke dalam mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

Suspek yang memakai baju t-shirt berkolar berwarna biru dan tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi itu direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yusuf di Mahkamah Majistret Batu Gajah di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang di Felcra Changkat Lada di Kampung Gajah semalam, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 42 tahun maut setelah cedera parah akibat dibelasah suspek menggunakan sebatang kayu yang berpaku.

Kejadian bermotifkan cemburu itu dipercayai berlaku apabila suspek yang bekerja sebagai pembantu ladang mengesyaki mangsa yang merupakan duda anak tiga itu menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.

Suspek yang menunggu kereta dinaiki mangsa dan isterinya itu di hadapan rumah wanita terbabit telah bertindak menyerang mangsa dengan memecahkan cermin kereta sebelum menarik mangsa keluar dari kenderaan tersebut.

Kejadian bunuh tersebut disaksikan sendiri oleh wanita berusia 42 tahun itu yang dikatakan telah setahun tinggal berasingan dengan suspek dan kini dalam proses untuk bercerai. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini