PASIR GUDANG – Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai dekat sini kecoh apabila beberapa pelajar pengsan dipercayai terhidu gas toksik pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! Online kira-kira pukul 10 pagi di sekitar kawasan sekolah terbabit mendapati beberapa ambulans dilihat keluar dari SMK Taman Nusa Damai dipercayai membawa pelajar terkesan akibat pencemaran udara.
Kejadian tersebut menyebabkan sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan pada pukul 11 pagi tadi.
Pelajar SMK Taman Nusa Damai, Akmal Hazim Nazri, 16, berkata pada ketika itu dia menjalankan sesi persekolahan seperti biasa, selain hari ini adalah Hari Bertemu Pelanggan yang mana ibu bapa akan hadir ke sekolah bagi mengambil keputusan peperiksaan anak-anak.
“Kira-kira pukul 10, pelajar Tingkatan Satu rehat dahulu di kantin sekolah, secara tiba-tiba ada pelajar Tingkatan Satu pengsan.
“Kemudiannya, tidak lama selepas ini, guru sekolah memberi pengumuman semua pelajar Tingkatan Satu, Empat dan Lima untuk keluar dari kelas dan berhimpun di dataran depan sekolah.
“Selepas turun dari tangga, ramai yang terbaring dan ada juga yang pengsan, tapi saya tidak nampak ada yang muntah, selain tiada pula bau yang meloyakan,” katanya. – K! ONLINE











