Video seks: Cari, kenakan tindakan tegas terhadap perancang - Utusan Malaysia

Video seks: Cari, kenakan tindakan tegas terhadap perancang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Kerajaan perlu mencari dan mengenakan tindakan tegas terhadap dalang atau perancang menyebarkan video seks songsang yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam masa sama, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim turut menyifatkan individu yang merancang dan berada di belakang tabir dalam isu tersebut sebagai pengecut.

Katanya, disebabkan tindakan tersebut, Mohamed Azmin menerima aib yang turut boleh memberi kesan kepada keluarganya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangan cakap pasal Mohamed Azmin sahaja, tetapi tanya siapa yang rancang mengeluarkan video tersebut. Tindakan itu (merancang) dilihat lebih buruk. Kerajaan perlu pandang serius perkara ini dan ambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks dikaitkan dengannya, dilakukan orang dalam parti sendiri.

Sebelum itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dilaporkan berkata, kancah politik Malaysia akan terus menggelegak jika rakyat tahu identiti individu yang didedahkan Haziq Abdullah Abdul Aziz kepada pihak polis yang `bagi petik api untuk membakar’ Mohamed Azmin.

Malah Rais juga percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentunya sudah memberitahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad siapa dalang di sebalik tindakan Haziq Abdullah mengaitkan menteri kabinet itu dalam video intimnya bersama seorang lelaki.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, sebagai contoh, dalam isu bakar kereta Mufti Perlis, perancang itu yang sebenarnya perlu dikenakan tindakan manakala pelaku itu hanya mengikut arahan dan diupah.

“Dalam kes Mohamed Azmin, saya percaya ia mungkin telah diatur oleh perancang tersebut. Kerajaan perlu segera bertindak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Arau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini