KEMAMAN – Seorang lelaki berusia 20-an diburu kerana disyaki mencuri dua buah beg tangan jemaah wanita yang sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Binjai di sini hari ini.
Perbuatan suspek yang dipercayai melakukan jenayah tersebut bersendirian pada pukul 5.45 pagi itu berjaya dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, berdasarkan rakaman CCTV terbabit, lelaki dilihat telah melakukan tinjauan di perkarangan masjid terlebih dahulu.
“Dia yang menutup sebahagian mukannya dengan baju-T dipakai bagi mengelak identiti terdedah kemudiannya telah memasuki ruangan solat wanita sewaktu jemaah sedang khusyuk menunaikan solat Subuh.
“Dua beg tangan milik Jemaah masjid berjaya diambil suspek di ruangan penyimpanan barangan sebelum dia dilihat cepat-cepat meninggalkan masjid terbabit sebelum jemaah itu selesai menunaikan solat Subuh,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, kehilangan beg tangan tersebut kemudiannya disedari kedua-dua mangsa sebelum ia dimaklumkan kepada pengurusan masjid itu. – K! ONLINE











