KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai penghantar dadah heroin base dalam serbuan di tempat letak kereta Jalan Dutamas Solaris, di sini, Khamis lalu.
Dalam serbuan pada pukul 11.40 pagi itu, dadah disyaki heroin base seberat 14.47 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1.24 juta yang berada dalam kereta Honda Accord dinaiki dua suspek berusia 31 dan 37 tahun itu turut dirampas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, heroin base itu dipercayai dibawa dari Thailand melalui Sungai Golok sebelum mendarat di Kelantan seterusnya dihantar oleh dua suspek berkenaan menggunakan kereta untuk diproses di ibu negara.
Ujarnya, selain rampasan dadah bernilai 1.24 juta, pihaknya turut merampas kereta Honda Accord bernilai RM80,000 dan wang tunai RM950 menjadikan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM1.32 juta.
“Heroin base ini masih ‘mentah’ dan nilainya boleh meningkat sehingga RM6.5 juta mengikut nilai pasaran selepas diproses.
“Dengan penahanan dan rampasan ini, kita berjaya menggagalkan tujuan suspek menghantar dadah untuk diproses yang boleh dibekalkan kepada lebih 130,000 penagih di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mazlan, kedua-dua suspek dipercayai bergiat aktif melakukan penghantaran sejak tiga bulan lalu dengan upah RM10,000 setiap penghantaran.
“Hasil ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek yang berusia 37 tahun positif dadah jenis amphetamin dan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah selain dikehendaki bagi kes bunuh di Kelantan,” jelasnya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.-UTUSAN ONLINE











