KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, mana-mana pihak di dalam PKR boleh menegur dan mengkritiknya sebagai seorang Presiden namun tidak boleh menerima sebarang tohmahan tanpa sebarang fakta dan alasan.
Jelas Anwar, Lembaga Disiplin PKR baru-baru ini telah mengemukakan pandangan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ahli yang membuat kenyataan yang berunsur fitnah dan tanpa fakta yang dilempar kepada parti dan kepemimpinan.
Oleh itu, jelasnya, beliau yakin Lembaga Disiplin akan dapat menggunakan saluran yang ada mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kenyataan-kenyataan seumpamanya.
“Dia boleh kritik termasuk tegur saya sebagai presiden, saya tidak jadi masalah tetapi tidak boleh buat tohmahan untuk mencabar pimpinan tanpa apa-apa alasan dan fakta seperti yang berlaku baru baru ini.
“Saya percaya saluran Lembaga Disipim itu akan dimanfaatkan untuk maksud tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Baru-baru ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerusi Naib Ketuanya, Mohd. Nazree Mohd. Yunus melaungkan amaran yang sayap itu sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan politik dalam PKR.
Ia termasuklah jika berlakunya pertembungan di antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tanpa menghurai lanjut maksud kemungkinan politik tersebut, Mohd. Nazree berkata, hanya masa akan menentukan kesudahan episod seterusnya, tetapi dengan tegas memberitahu PKR tidak boleh digunakan untuk kepentingan individu dan keluarganya.
Dalam pada itu, tegas Anwar, Pimpinan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat PKR juga telah bersetuju untuk menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk bertindak tegas kepada sesiapa yang melanggar peraturan tersebut. – UTUSAN ONLINE.











