SEREMBAN – Kerajaan berharap lebih banyak majikan terutamanya sektor swasta di negara ini menganjurkan kempen keselamatan jalan raya untuk kakitangan mereka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu boleh elemen tambahan kepada kempen keselamatan di tempat kerja yang lazimnya dianjurkan oleh majikan.
“Kempen ini penting kerana kita mahu pekerja bukan saja selamat di tempat kerja tetapi selamat semasa mereka berulang alik ke tempat kerja.
“Kerajaan berharap majikan dapat menerapkan aspek keselamatan kepada pekerja pada sepanjang masa dan bukan terhad semasa mereka berada di tempat kerja semata-mata,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Tempat Kerja kilang SKF Bearing Industries (Malaysia) Sdn. Bhd (SKF Bearing) di Nilai dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan SKF Bearing, Kee Kam Dick.
Siew Fook berkata, para pekerja menjadi kumpulan sasar oleh kerajaan bagi meningkat kesedaran mereka terhadap aspek keselamatan di jalan raya semasa mereka berulang alik setiap hari ke tempat kerja masing-masing.
“Kita berharap aspek keselamatan jalan raya menjadi satu budaya kepada mereka sama seperti para pekerja dan majikan membudayakan keselamatan di tempat kerja,” ujarnya.
Sementara itu, Kam Dick berkata, kilang berkenaan melancarkan kempen tahunannya itu sebagai sebahagian daripada komitmen untuk meningkat kesedaran dalam kalangan pekerja untuk mengurangkan kes kecederaan akibat kemalangan jalan raya dan tempat kerja.
“Kami melancarkan kempen keselamatan setiap tahun untuk pekerja bagi melibatkan mereka mengenai pentingnya amalan keselamatan dan perjalanan yang selamat supaya mereka dapat pulang ke rumah kepada orang yang tersayang dengan selamat,” katanya.
Antara aktiviti yang dianjurkan sempena kempen itu ialah gerai dan demonstrasi yang bermaklumat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Terdapat juga permainan interaktif dan simulator keselamatan jalan raya untuk para tetamu dan kakitangan SKF Bearing untuk belajar bagaimana untuk kekal selamat di jalan raya dan bekerja dengan selamat. – UTUSAN ONLINE











