KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjakkan kedudukannya ke-159 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2020 dan meraih kedudukan universiti kedua terbaik dalam negara.
Ini adalah pencapaian terbaik UPM sejak penyertaan pertamanya dalam ranking ini.
Naib Canselornya, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, UPM membuat lonjakan sebanyak 43 tangga berbanding kedudukan ke-202 pada tahun sebelumnya selain mencatat prestasi kenaikan selama enam tahun berturut-turut.
“Pencapaian awal setahun daripada perancangan ini bermakna UPM akan menetapkan matlamat baharu dalam pelan transformasinya, selaras dengan peranan universiti dan asas-asas pendidikan.
“Pada tahun ini, UPM menunjukkan penambahbaikan dalam semua indikator dan lonjakan tertinggi adalah pada indikator reputasi majikan. Ini menandakan bahawa pelajar, penyelidikan dan aktiviti pengembangan kami mendapat pengiktirafan daripada industri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
QS World University Rankings 2020 menilai 1,620 universiti utama dunia berdasarkan enam indikator iaitu reputasi akademik sebanyak 40 peratus, reputasi majikan (10 peratus), nisbah pelajar dengan fakulti (20 peratus), rujukan setiap fakulti (20 peratus), fakulti antarabangsa ( lima peratus) dan pelajar antarabangsa sebanyak lima peratus.
Tambah Aini, UPM akan terus berusaha memperbaiki kelemahan, meningkatkan kekuatan dan mengambil pendekatan strategik untuk meningkatkan prestasi keseluruhan.
Katanya, pihaknya akan terus melaksanakan usaha berstruktur untuk menanda aras amalan dan prestasi universiti dengan universiti-universiti terbaik dunia.
“UPM mencapai sasaran Putra Global 200 (PG200) yang merupakan salah satu aspirasi penting dalam Pelan Strategik UPM 2014 hingga 2020 untuk berada dalam senarai 200 universiti terbaik dunia QS menjelang tahun 2020,” ujarnya.
Menurut Aini lagi, komitmen berterusan UPM dalam membina rangkaian antarabangsa yang kukuh menjadikan universiti itu mampu menarik pelajar, penyelidik, dan staf akademik bertaraf antarabangsa.
Aini berkata, indikator Pelajar Antarabangsa merupakan kekuatan yang paling cemerlang untuk UPM dengan menduduki ranking 135 dunia bagi indikator itu. -UTUSAN ONLINE











